Warga Singapura Pilih Jongkong Emas Sempena Aidilfitri Sebagai Pengganti Duit Raya
Menarik juga idea ni, lain daripada yang lain!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang warga Singapura bertukar tradisi kebiasaan duit raya kepada pemberian jongkong emas kepada ahli keluarganya
Menerusi laporan Harian Metro, Norlina Mohamad berkata dia mula tertarik kepada idea itu kerana keunikan setiap jongkong emas mempunyai keluaran edisi terhad sempena Aidilfitri didatangkan dengan ukiran motif unik selain harga yang berpatutan.
Menurutnya, tahun ini dia membeli lebih 10 jongkong emas 999 edisi terhad Aidilfitri keluaran SK Jewellery dengan berat 0.3 gram setiap satu untuk diberikan kepada cucu dan cucu saudaranya pada Aidilfitri nanti.
"Saya memang suka nak beri sesuatu yang lain daripada yang lain. Kalau beri duit saja, macam dah biasa rasanya. Rasanya macam mereka boleh beli barang lain.
"Tapi lepas itu, dah tak nampak. Tapi kalau macam jongkong emas ini, dia akan simpan buat kenangan," katanya.
Katanya, dia akan meneruskan tradisi itu mengikut kemampuannya pada sambutan Aidilfitri akan datang.
Sementara itu, SK Jewellery menerima permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap jongkong emas edisi terhad sempena Aidilfitri
Ketua bahagian E-Dagang SK Jewellery, David Lau berkata, lebih ramai pelanggan muda dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an tahun dilihat semakin cenderung mendapatkan jongkong emas.
"Tawaran kita sempena hari raya ini bukan untuk menggantikan tradisi memberi duit raya, tetapi ia lebih kepada sejenis produk pelengkap.
"Jongkong emas menawarkan pilihan yang mampu milik untuk dipertimbangkan pelanggan sebagai hadiah kepada keluarga mereka dan rakan-rakan.
"Ia bukan sahaja sebagai kenangan, tetapi juga cara untuk melabur dalam nilai emas, yang meningkat dari segi harganya sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!