seismik

7 Individu Ini Akui Bila Berjauhan, Rasa Sayang Pada Keluarga Semakin Menebal

Ada yang merantau untuk mencari rezeki, ada yang sambung belajar. Namun jarak bukan penghalang untuk terus mengeratkan sillaturrahim bersama keluarga dan sahabat tercinta.

Cover image via Aida Sue

Rezeki ada di mana-mana. Itu adalah antara sebab mengapa ada ramai individu yang harus bekerja jauh dari kampung halaman dan keluarga.

Image via ytimg.com

Walaupun berjauhan, namun jarak tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan. Tidak semestinya jarak yang jauh akan merenggangkan lagi jurang silaturrahim bersama orang yang tersayang. Tidak mustahil jika kami kata jarak inilah yang sebenarnya lebih menguatkan lagi bonding bersama ahli keluarga tercinta.

Perkara ini turut dipersetujui oleh tujuh anak muda ini. Shaiful Amirin, Aida Sue, Rozahan Rahmat, Awang Saifuldin, Haizatul Hafizah, Nur Aqilah, dan Vee Azura berkongsi kepada kami tentang kerinduan yang mereka alami ketika keluarga tiada di sisi.

Shaiful Amirin dahulunya bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran Digital di salah sebuah syarikat pengiklanan terkemuka di Malaysia. Dia kemudiannya berhijrah ke New Zealand untuk menimba pengalaman di negara orang, dan kini sudah berada di sana hampir setahun.

Shaiful Amirin, New Zealand.

Image via Facebook Saiful Amirin

Vee Azura, anak kelahiran Sarawak yang merantau ke Semenanjung untuk menjadi pendidik anak bangsa. Ini tahun kedua Vee bertugas di sebuah sekolah di Taman Tun Dr Ismail.

Bagi Rozahan Rahmat, ini kali pertama beliau berjauhan dari keluarga. Rozahan dahulunya bekerja sebagai pegawai teknikal di Malaysia sebelum meninggalkan pekerjaan tersebut untuk menemani isteri yang melanjutkan pelajaran dan mencari rezeki di bumi Scotland.

Nur Aqilah Mustafa Bakray merupakan seorang pelajar dalam bidang kedoktoran di Universiti Aberdeen di Scotland. Ini merupakan tahun pertama dan kali pertama Nur Aqilah berada di luar Malaysia dan jauh dari keluarga.

Aida Sue, seorang pelajar Sarjana kursus Pengurusan Perniagaan di University of Aberdeen, Scotland. Ini adalah kali kedua Aida berada jauh dari keluarga, kali pertama adalah ketika beliau melanjutkan pelajaran dalam ijazah sarjana muda di Universiti Saitama, Jepun.

Aida Sue kini berada di Aberdeen, Scotland.

Image via Facebook Aida Sue

Awang Saifuldin masih muda, tetapi sudah mula sedar tanggungjawab untuk mencari rezeki walau dimana pun dia ditugaskan. Kini bekerja di Melaka, keluarga Saifuldin sendiri menetap nun jauh di Miri, Sarawak. Walaupun jauh dari keluarga, tetapi Saifuldin menganggap ini cuma satu cabaran untuk masa depan yang lebih gemilang.

Haizatul Hafizah sering bercuti ke luar negara, tapi perasaan bercuti dan tinggal di luar negara baginya langsung tak sama. Ini juga pengalaman pertama Haizatul berada beribu-ribu batu jauhnya dari keluarga, tetapi demi segulung ijazah Sarjana Kejuruteraan, Haizatul kekal tabah.

Haizatul Hafizah juga turut sama berada di Scotland.

Image via Facebook Aida Sue

Ikuti perbualan kami bersama mereka di bawah:

Apakah cara yang anda ambil untuk kekal berhubung dengan keluarga ketika berjauhan?

Shaiful Amirin: Teknologi membuatkan banyak perkara menjadi mudah. Memandangkan saya adalah seorang pengguna iPhone, saya sering FaceTime bersama keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Selain daripada itu, saya akan WhatsApp mereka dengan kerap untuk memastikan saya sentiasa tahu perkembangan terkini keluarga dan rakan-rakan saya.

Vee Azura: Saya sering menghubungi kedua ibu bapa dan keluarga dengan membuat panggilan telefon dan WhatsApp. Memandangkan ayah saya belum mahir menggunakan WhatsApp, saya akan menghantar MMS untuk berkongsi gambar saya atau apa-apa gambar menarik bersama beliau.

Vee Azura (kiri), berasal dari Sarawak dan kini bertugas sebagai guru di salah sebuah sekolah di Taman Tun Dr Ismail.

Image via Facebook Vee Azura

Rozahan: Memandangkan Scotland jauh dari Malaysia, adalah agak mahal untuk membuat panggilan telefon sebelum ini. Tetapi sejak adanya fungsi panggilan di WhatsApp, saya sering hubungi keluarga dengan menelefon mereka. Paling tidak pun, saya akan WhatsApp ibu dan adik-beradik saban hari untuk memastikan mereka okay-okay sahaja di sana. Saya akan hubungi emak untuk pastikan emak sentiasa sihat dan akan mengarahkan adik-beradik segera membawa emak berjumpa doktor jika beliau kurang sihat.

Nur Aqilah: Saya bersyukur kerana ketika saya menjejakkan kaki ke sini, rakyat Malaysia sudah didedahkan dengan penggunaan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Facebook dan Facetime kerana inilah medium perhubungan antara saya dan keluarga yang jauh di Malaysia. Saya tak pernah miss bertanya khabar mereka setiap hari.

Kelihatan Nur Aqilah sedang meneliti tanah; salah satu tugasan beliau sebagai pelajar.

Image via Facebook Nur Aqilah

Aida Sue: Sebelum saya merantau untuk melanjutkan pelajaran lagi saya memang sudah terbiasa untuk WhatsApp ibu saya setiap hari, apatah lagi bila sudah berjauhan. Jika saya terlalu sibuk dengan pelajaran, saya akan pastikan saya akan bertanya khabar ibu walaupun sekadar satu mesej.

Awang Saifuldin: Sudah semestinya saya akan menghubungi ibu saya setiap hari melalui WhatsApp. Saya juga rapat dengan kedua atuk dan nenek saya, jadi saya akan pastikan sekurang-kurangnya saya akan menelefon mereka seminggu sekali. Kalau tak, memang rasa tak lengkap kehidupan saya selama seminggu.

Haizatul: Saya agak bernasib baik kerana Aidilfitri ini, keluarga saya datang ke Scotland untuk beraya bersama saya. Tetapi jika bukan musim perayaan, saya akan sentiasa menghubungi ibu bapa dan keluarga melalui aplikasi WhatsApp. Kami sekeluarga ada group WhatsApp sendiri, senang nak tahu semua orang sedang buat apa dan jika ada info menarik untuk dikongsikan bersama.

Haizatul mengambil gambar kenangan bersama rakan-rakan di hadapan Stadium Emirates di London.

Image via Facebook Haizatul Hafizah

Apakah situasi yang menyebabkan anda rasa rindu yang teramat sangat pada keluarga yang jauh di mata?

Shaiful Amirin: Hari raya tidak berapa lama saja lagi, dan inilah kali pertama saya beraya tanpa keluarga di sisi, saya rasa ini antara keadaan di mana saya akan mengalami "rindu teruk" pada keluarga. Saya juga sering rasa rindu pada mereka ketika bersendirian.

Vee Azura: Saya akan teringat sangat pada keluarga bila makan. Contohnya, bila nampak telur putih, saya akan teringat pada adik saya kerana itu makanan kegemarannya, jika nampak sayur-sayuran teringat pula pada ibu kerana ibu sangat suka makan sayur. Tetapi sebenarnya, saya sering rindu dan homesick pada keluarga setiap masa.

Rozahan: Seperti yang dikatakan tadi, saya ni anak emak. Jadi setiap hari pun saya akan teringatkan emak. Saya sering terfikir jika ada rezeki lebih, saya ingin bawa emak datang ke Scotland dan tinggal di sini dalam sebulan dua. Sambil rehatkan minda, sambil tengok tempat orang. InsyaAllah, dalam masa terdekat saya akan berbuat demikian.

Rozahan Rahmat (kanan) kini bekerja di Aberdeen sambil menemani isteri melanjutkan pelajaran.

Image via Facebook Aida Sue

Nur Aqilah: Saya akan teringatkan kedua ibu bapa dan keluarga bila saya rasa tertekan semasa belajar, kalau dekat senang sikit nak meluahkan perasaan. Saya juga akan extra rindu bila adik-beradik buat gathering dan kongsi gambar bersama saya di group WhatsApp. Kadang-kadang tiba-tiba saja rindu gila kat keluarga, tapi apakan daya ini amanah yang telah diberikan kepada saya dan saya mesti teruskan.

Aida Sue: Bila saja selesai solat seorang diri, saya mesti teringat pada kedua orang tua dan dua orang adik lelaki saya. Apa agaknya yang mereka lakukan pada ketika itu? Jadi bila rindu tu datang, saya doakan mereka supaya sentiasa sihat.

Awang Saifuldin: Saya sentiasa rindu pada ibu bapa dan keluarga, tapi perasaan itu akan datang lebih lagi bila saya kurang sihat atau penat bekerja. Kan best kalau balik rumah terus dapat jumpa kedua orang tua, pasti hilang penat atau stres.

Awang Saifuldin terpaksa berada berjauhan dengan keluarganya di Miri demi menjalankan tugas.

Image via Facebook Awang Saifuldin

Haizatul: Saya akan rasa rindu pada keluarga apabila berseorangan, ketika stres atau sedih dan ketika tarikh-tarikh penting seperti hari jadi atau anniversary yang biasa disambut bersama-sama keluarga ketika di Malaysia.

Apakah perkara yang akan menyebabkan anda sedar akan kepentingan keluarga?

Shaiful Amirin: Kehidupan di New Zealand lebih tenang dan orangnya juga sangat bersifat kekeluargaan. Tak kira ke mana saya pergi, pasti akan ada seseorang yang berkata, "Saya perlu balik, anak atau isteri sedang menunggu." Ketika itu saya sedar, situasi ini agak berbeza berbanding di tanah air dan kini saya bertekad untuk lebih berbakti kepada keluarga bila saya balik nanti.

Vee Azura: Saya menyedari pentingnya ikatan kekeluargaan apabila melihat mereka yang tidak punyai ibu bapa, mahupun mereka yang kurang kasih sayang dan perhatian dari keluarga. Kerjaya saya sebagai guru banyak membuka minda saya tentang wujudnya pelbagai jenis dan gaya institusi keluarga di Malaysia, dan saya bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang cukup segala-galanya.

Rozahan: Saya memerlukan adik beradik saya untuk tolong jagakan ibu bapa yang sudah berusia semasa ketiadaan saya. Jika hubungan kami tidak rapat, sudah pasti perkara ini akan menjadi sukar. Ketika inilah saya sedar betapa pentingnya keluarga dalam kehidupan.

Nur Aqilah: Ibu saya kurang sihat, saya bergantung harap pada adik beradik saya untuk jaga ibu dan memberitahu perkembangan ibu. Saya juga sering mengadu masalah pada adik beradik saya, dengan adanya mereka kurang sikit beban di kepala saya. Inilah pentingnya keluarga bagi saya.

Nur Aqilah (kanan) bersama rakan-rakan sefakulti.

Image via Facebook Nur Aqilah

Aida Sue: Apabila saya ada masalah, ibu saya sering jadi tempat saya meluahkan perasaan. Biasanya ibu akan berikan saya idea. Dan jika saya ada idea untuk aktiviti, ibu akan menyokong dan turut mempromosi aktiviti tersebut pada rakan-rakan sepejabatnya. Kekuatan yang saya perlukan dari keluarga saya membuatkan saya sedar, saya tidak akan berada di sini tanpa mereka. Keluarga memang penting dalam hidup saya.

Aida Sue (dua dari kanan), Nur Aqilah (tiga dari kiri) dan Rozahan (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan memetik strawberi.

Image via Facebook Aida Sue

Awang Saifuldin: Berkawan biar seribu, tetapi keluarga hanya ada satu. Itulah yang ibu selalu ingatkan pada saya. Di masa susah dan senang, keluarga sentiasa ada di belakang saya dan menerima saya seadanya. Ini merupakan punca saya sedar akan kepentingan keluarga dalam hidup saya.

Haizatul: Saya akan menyedari kepentingan silaturrahim yang kuat antara keluarga apabila saya harus mengembara secara bersendirian. Contohnya ketika dalam kesusahan berpindah ke tempat baru, saya hanya berseorangan dan tiada ahli keluarga berdekatan untuk membantu saya. Ketika hari-hari penting seperti harijadi atau hari-hari keluarga juga membuatkan saya rasa bersyukur kerana saya ada famili yang rapat antara satu sama lain.

Haizatul Hafizah, penuntut ijazah Sarjana Kejuruteraan di Robert Gordon University, Scotland.

Image via Facebook Haizatul Hafizah

Apakah perkara pertama yang anda akan lakukan bila pulang ke kampung nanti?

Shaiful Amirin: Di tempat saya sekarang musim sejuk, saya rindukan cuaca yang panas dan segar di Malaysia. Tetapi apabila saya kembali nanti, perkara pertama yang saya mesti buat ialah menjamu selera dengan semua makanan yang ada di negara tercinta. Dah lama tak makan, rindu!

Perkara pertama yang ada dalam kepala Shaiful ialah makanan Malaysia.

Image via Facebook Shaiful Amirin

Vee Azura: Makan! Saya akan request pelbagai jenis makanan dari ibu dan bapa. Tetapi sebagai balasan, saya juga akan masak makanan kegemaran mereka.

Rozahan: Perkara pertama yang saya akan lakukan ialah tinggal di kampung untuk beberapa minggu dan ganti balik masa ketika saya di sini bersama keluarga.

Nur Aqilah: Terlebih dahulu, saya akan meminta keampuan dari kedua ibu bapa saya atas segala kesalahan saya sepanjang saya tiada di samping mereka. Mungkin mereka memerlukan saya pada sesuatu ketika, tapi saya tidak dapat bersama mereka. Saya juga ingin membuat kenduri kesyukuran kerana akhirnya tamat pelajaran saya di Scotland.

Aida Sue: Perkara pertama yang saya hendak lakukan bila pulang ke tanah air selain dari habiskan masa bersama keluarga ialah menziarahi kubur nenek sebelah ibu di Negeri Sembilan. Saya juga hendak melawat nenek sebelah ayah di Muar, Johor selain dari tak sabar nak menjamu selera dengan satay and mee bandung Muar. Terbaik!

Ini merupakan kali kedua Aida Sue hidup di tempat orang.

Image via Facebook Aida Sue

Awang Saifuldin: Perkara pertama yang saya akan lakukan semestinya meluangkan masa bersama keluarga. Saya juga sudah bercadang untuk belanja atuk dan nenek saya makan makanan kegemaran mereka, iaitu burger.

Haizatul: Semestinya makan masakan yang ibu dan ayah saya masak, terutamanya masakan kampung. Sekarang pun dah terliur dan rindu pada masakan tersebut.

Daripada perbualan ini, kami dapat simpulkan bahawa hubungan kekeluargaan dalam kehidupan kita adalah amat penting. Oleh itu, sempena Hari Raya ini, hargailah orang yang tersayang selagi mereka masih berada di sisi kita.

Aida Sue bersama ahli keluarga.

Image via Facebook Aida Sue

Keluarga lebih dari ikatan fizikal. Keluarga lebih dari darah. Keluarga lebih dari nama. Bersyukurlah kita yang masih mempunyai keluarga. #SyukurSelalu

Jika anda tersentuh dengan kisah tujuh anak muda ini, anda boleh ikuti kisah-kisah menyentuh perasaan #HowToLoveMalaysia yang lain DI SINI: