seismik

Tragedi Di Lebuhraya PLUS, Pasangan Suami Isteri & Anak Berusia 2 Tahun Antara Yang Maut

Kemalangan tersebut membabitkan empat kenderaan termasuk treler di Kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, 11.30 malam tadi.

Cover image via Friends of Bomba Malaysia (Facebook)

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Sepasang suami isteri bersama seorang anak perempuan mereka berusia dua tahun maut dalam kemalangan yang meragut lima nyawa di Lebuhraya PLUS di Johor malam tadi

Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata pasangan suami isteri tersebut ialah pemandu Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36 dan isterinya, Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital manakala anak perempuan, Mariam Nasarudin, 2, meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi anak mangsa yang berusia sembilan, tujuh dan empat tahun cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

"Berdasarkan siasatan, pemandu treler berusia 35 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur memaklumkan sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan kanan kenderaan dipandunya pecah menyebabkannya hilang kawalan.

"Treler itu dikatakan bergesel dengan Toyota Camry yang berada di laluan sama sebelum kenderaan berkenaan memasuki laluan bertentangan dan melanggar Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.

"Kereta Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.

"Akibat perlanggaran berkenaan, kenderaan Honda Stepwagon Spada terbakar keseluruhan tetapi penumpang dan pemandu sempat dikeluarkan dari kenderaan sebelum api merebak," katanya.

Seorang wanita berusia 23 tahun bersama penumpang lelaki berusia 20-an merupakan dua lagi mangsa yang maut dalam kemalangan terbabit

Turut maut dalam kemalangan itu ialah pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, yang tiada lesen memandu dan penumpang hadapan, lelaki berumur 20-an akibat cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bahrin berkata, pemandu treler itu cedera di kaki kanan dan pinggang dan mendapatkan rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Katanya, pemandu lelaki Toyota Camry berusia 38 tahun dan penumpang belakangnya, wanita berusia 25 tahun dan kanak kanak lelaki berusia dua tahun cedera juga turut mendapat rawatan di hospital sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: