seismik

"Saya Seronok Tinggal Di Sini" - Lima Beranak Berumahkan Pondok Di Dalam Hutan Kebun Getah

Si isteri sedang mengandung 6 bulan.

Cover image via hmetro.com.my

Disebabkan mahu sentiasa berada di samping suami, seorang isteri dan tiga anaknya tinggal di sebuah pondok daif tidak berdinding dan berlantaikan buluh dalam kawasan hutan kebun getah di Kampung Kuala Tualak, Kuala Nerang, Kedah

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata lima beranak itu dikatakan bakal menerima bantuan rumah di tapak berhampiran selepas mengunjungi keluarga tersebut di pondok mereka.

Pasangan muda itu, Mohd Ridzuan Yaakob, 26, dan isterinya, Nur Hidayah Roslizam, 23, yang sedang hamil enam bulan dikatakan tinggal di pondok tersebut hampir setahun yang lalu.

Image via Harian Metro

Nur Hidayah yang berasal dari Pulau Pinang berkata, dia mengambil keputusan mengikut suaminya tinggal dalam pondok itu bagi memudahkan suaminya mencari rezeki di kawasan hutan

“Sebelum ini kami tinggal bersama ibu mentua tetapi terpaksa pindah kerana adik-beradik suami pun tinggal sekali dengan ibu mentua.

"Kemudian kami menyewa di luar tetapi tidak sampai sebulan sebelum ambil keputusan tinggal di sini (kebun getah)," katanya.

hmetro.com.my

Menurutnya, suaminya itu sering keluar masuk kawasan kebun getah tersebut untuk mencari rezeki.

Mohd Ridzuan juga melakukan kerja kampung seperti menoreh getah dan mencari petai dan memperoleh pendapatan antara RM600 dan RM700 sebulan.

Suri rumah itu berkata, mereka menggunakan generator untuk menjana elektrik, manakala bekalan air bagi kegunaan harian untuk membasuh serta memasak diperoleh dari telaga berhampiran.

Nur Hidayah berkata dia sangat seronok tinggal di pondok tersebut dan tidak mengalami sebarang masalah

“Saya seronok tinggal di sini dan bersyukur dengan keadaan ini. Bagi saya tidak ada masalah. Waktu malam pun tiada nyamuk tetapi kami kena berjaga-jaga dengan babi dan ular. Cuma saya harap tempat tinggal saya ini dapat diperbaiki lagi agar berdinding supaya lebih selesa,” katanya.

hmetro.com.my

Si suami pula berkata, dia sendiri seronok tinggal di situ dan tidak merancang untuk berpindah keluar tetapi dalam masa yang sama berharap sekiranya ada pihak berkaitan yang boleh membantu untuk membina rumah yang lebih selesa di dalam kawasan kebun getah tersebut.

“Sekarang pondok ini dibina atas tanah datuk saya. Memang saya yang pilih tinggal di sini sebab mudah bagi saya untuk bekerja,” katanya.

Pondok bertiangkan kayu yang tidak kukuh serta beralaskan bumbung plastik terbabit dibina di bawah cerun bukit dengan anggaran kedalaman kira-kira 20 meter

Badrol Hisham berkata, sebelum ini pihaknya ada menawarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk keselesaanlima beranak itu, namun Mohd Ridzuan menolak kerana tetap mahu tinggal dalam kebun getah terbabit.

Oleh itu sebuah rumah yang lebih selesa akan dibina oleh pihaknya di kawasan berkenaan tetapi bukan tapak sama pondok tersebut.

Image via BERNAMA

“Kami kena cari tapak lain yang lebih selamat terlebih dahulu untuk bina rumah ini. Saya difahamkan ada tanah yang rata milik datuk Mohd Ridzuan di kawasan ini.

"Proses untuk membina rumah ini pula akan dibuat secepat mungkin dan saya akan turut berbincang dengan pihak berkaitan bagi mempercepatkan pembinaan rumah ini bagi keselesaan keluarga Mohd Ridzuan,” katanya.

hmetro.com.my

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

You may be interested in: