seismik

[TERKINI] Pemilik Rumah Musnah Sepenuhnya Bakal Terima RM10,000, Separa Musnah RM5,000

Difahamkan, RM5,000 adalah sumbangan daripada Petronas dan baki RM5,000 lagi bantuan disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Cover image via Eizairi Shamsudin/New Straits Times & Firdaus Latif/Malay Mail

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Pemilik rumah yang musnah sepenuhnya dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights Selasa lalu akan menerima bantuan tunai RM10,000

Menurut laporan Berita Harian, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain RM5,000 sumbangan Petronas yang dikawal selia sepenuhnya kerajaan negeri, baki RM5,000 lagi bantuan untuk rumah yang musnah sepenuhnya disumbangkan Kerajaan Persekutuan.

"Ini bermakna pemilik rumah yang musnah sepenuhnya akan menerima RM10,000.

"Bagi rumah yang terkesan dan juga penyewa, mereka akan menerima RM2,500 dari Petronas dan RM2,500 lagi dari kerajaan Persekutuan... jadi mereka akan dapat keseluruhan RM5,000," katanya ketika sidang media di Wisma Dewan Annexe, Shah Alam hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari

Image via Faiz Anuar/NSTP

Amirudin berkata, hari ini sesi pertama penyampaian bantuan akan dilaksanakan kerajaan negeri membabitkan 219 pemilik yang sudah disahkan.

"Pihak jawatankuasa bencana akan memanggil secara individu semua yang dikenal pasti itu, manakala selebihnya akan disusuli hari seterusnya.

"Dianggarkan (penyampaian bantuan akan dilakukan) sehingga Jumaat selepas mendapat pengesahan laporan kehadiran mereka di pusat pemindahan sementara (PPS) dan mereka yang benar-benar terkesan untuk menerima sumbangan Kerajaan Persekutuan dan Petronas," katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sudah melakukan pemeriksaan dan siasatan terhadap 437 rumah dikenal pasti sebagai angka muktamad oleh pasukan teknikal

Keadaan salah sebuah rumah di Kampung Kuala Sungai Baru pada 3 April 2025, selepas kebakaran saluran paip gas berlaku di Putra Heights, Subang Jaya.

Image via Firdaus Latif/Malay Mail

"Kita letakkan rumah-rumah ini dalam tiga kategori iaitu musnah sepenuhnya dengan kebakaran struktur melebihi 40 peratus, separa musnah kebakaran struktur kurang 40 peratus dan terkesan tetapi tidak terbakar.

"Maknanya dari keseluruhan itu, bagi kategori pertama sebanyak 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya, 81 ditakrifkan separa musnah dan 57 lagi terbakar tetapi tidak mengalami kebakaran kepada struktur. Baki 218 rumah diperiksa tidak terjejas.

"Kita juga sudah membesarkan kawasan terkesan dari hari pertama adalah 290 meter persegi atau radius. Kali ini kira-kira 325 meter persegi pemeriksaan dilakukan.

"Sehingga hari ini, 151 rumah disahkan selamat dan pemilik rumah ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing... mungkin ada kerosakan kecil harus ditanggung, perlu dilaksanakan pembaikan.

"Mesyuarat hari ini juga memuktamadkan senarai mangsa dan sehingga jam 6 petang semalam 613 isi rumah didaftarkan dengan PPS daripada keseluruhan 437 rumah termasuk yang disewakan bilik," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: