Stesen Minyak Di Melaka Diarah Bayar RM54K Kepada Owner Porsche Gara-Gara Air Dalam Petrol
Difahamkan, mahkamah turut menganugerahkan kos RM10,000 kepada pihak plaintif.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah stesen minyak di Melaka diarah membayar lebih RM54,000 kerana membekalkan bahan api yang tercemar dengan air, yang menyebabkan sebuah kereta Porsche Cayenne rosak
Menurut laporan The New Straits Times, mahkamah majistret di Alor Gajah, Melaka, memutuskan memihak kepada Malacha Sdn Bhd yang menyaman DMY dan Family Sdn Bhd kerana membekalkan petrol yang didakwa bercampur dengan air di cawangan Shell dekat Sungai Petai pada 30 September 2023.
Majistret Dr Teoh Shu Yee memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan stesen minyak bertanggungjawab membekalkan bahan api yang tercemar dengan air, yang menyebabkan kerosakan pada enjin kereta plaintif.
Menurut dokumen mahkamah, pihak plaintif mendakwa SUV itu hilang kuasa dan rosak selepas mengisi minyak dengan petrol V-Power 97 di stesen minyak defendan pada 30 September 2023.
Kereta itu kemudian ditarik ke Pusat Servis Porsche dan, setelah diperiksa, didapati petrol yang dituangkan ke dalam kereta plaintif telah tercemar dan bercampur dengan air.
Pada 3 Oktober, tahun yang sama, defendan menerima e-mel daripada Shell Malaysia yang memaklumkan dan melampirkan aduan yang dibuat oleh plaintif kepada syarikat itu.
Dalam pembelaannya, pengendali stesen minyak mengupah seorang juruteknik untuk memeriksa premis itu untuk tanda-tanda resapan atau kebocoran air, tetapi tiada sebarang bukti ditemui
Defendan juga mendakwa bahawa ia tidak menerima sebarang aduan pelanggan selepas pemeriksaan, sehingga kini.
Bagaimanapun, Teoh dalam alasan penghakimannya, berkata mahkamah mendapati defendan gagal menunjukkan ia telah mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah, termasuk menyediakan laporan pencelupan yang betul dan boleh diukur pada hari kejadian.
“Defendan gagal mengemukakan sebarang penjelasan yang boleh dipercayai atau bukti langkah-langkah munasabah yang diambil, seperti laporan pencelupan lengkap mulai 30 September 2023.
"Sebaliknya, mereka hanya bergantung pada pernyataan umum dan gambar, tanpa menghasilkan sebarang rekod pencelupan yang boleh disahkan," katanya.
Mahkamah juga menerima penemuan teknikal daripada Pusat Servis Porsche sebagai boleh dipercayai dan menolak hujah pembelaan bahawa pembaikan itu tidak wajar.
"Satu-satunya cara yang berkesan untuk mempertikaikan keterangan pakar plaintif ialah dengan mengemukakan bukti sanggahan daripada pakar lain. Defendan gagal berbuat demikian," tambah Teoh.
Mahkamah memerintahkan defendan membayar pampasan RM48,568.05 untuk kos pembaikan dan RM6,000 untuk bayaran pelaras bebas, menjadikan jumlah keseluruhan RM54,568.
Dalam pada itu, mahkamah menganugerahkan kos RM10,000 kepada plaintif.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!