seismik

"Tok, You're Forever My Sultan" - Cucu Almarhum Sultan Kedah Tulis Eulogi Penuh Perasaan

Al Fatihah.

Cover image via Instagram @sarinaiskandar

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah mangkat pada 11 September 2017 semalam

Menurut sumber, almarhum mangkat pada jam 2.30 petang di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah. Almarhum mangkat pada umur 89 tahun.

Tuanku Abdul Halim berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong dari 1970 hingga 1975.

Almarhum kemudian mencipta sejarah apabila ditabal sebagai Agong buat kali kedua pada tahun 2012 sehingga pemerintahannya berakhir pada Disember 2016. Tempat almarhum digantikan oleh Sultan Muhammad V. dari Kelantan.

Sedang negara meratapi kehilangan pemimpin yang dihormati, anggota keluarga Tuanku Abdul Halim berkabung setelah kehilangan seorang yang disayangi.

Cucundanya, Raja Sarina Iskandar berkongsi beberapa tulisan yang menyentuh emosi atas kemangkatannya.

Raja Sarina Iskandar menerusi Instagram menceritakan kisah menyayat hati mengenai datuknya itu yang selama ini menjadi inspirasi kepada beliau.

"Tok Tercinta,

"Hari ini dan selama-lamanya, Kedah dan Malaysia telah kehilangan seorang raja terbaik mereka. Dedikasi Tok kepada Kedah dan Malaysia telah memberi inspirasi kepada saya untuk membesar. Apabila Tok menjadi Agong untuk kali kedua pada usia 83, saya berpindah bersama Tok ke Istana Negara. Pada masa itu, saya melihat untuk kali pertama, sisi hidup Tok di belakang tabir,"
tulis beliau.

Beliau menyambung dan memberitahu bahawa almarhum bukan sekadar seorang raja yang "hanya duduk di atas takhta dan menikmati kekayaan"

Image via BERNAMA

"Ini adalah sisi seorang raja yang tiada siapa tahu. Tok tidak hanya duduk di atas takhta dan menikmati kekayaan sepertimana yang orang ramai fikirkan. Banyak pengorbanan kerana Tok tidak boleh jalani kehidupan yang normal. Tiada privasi dan tiada jadual biasa. Status Tok adalah amanah dari Allah.

"Saya lihat Tok sanggup tak makan untuk berlatih ucapan Tok atau berada di pejabat. Orang umur 80-an mana yang akan buat macam ini? Kebanyakan kita mahu bersara pada 50 jika kita boleh! Tetapi Tok tidak boleh walaupun jika Tok mahu. Dan ada kalanya, yang ramai orang tak tahu, ketika Tok sakit tetapi Tok masih teruskan tugas Agong dan Sultan.

"Tok berulang-alik antara majlis rasmi dan hospital. Saya akan lihat Tok di TV kelihatan normal ketika bersalaman dengan Perdana Menteri, menteri dan rakyat. Namun sebaik sahaja acara tamat, Tok akan kembali ke wad hospital dengan tiub di tubuh. Di saat Tok paling sakit pun, Tok akan tepati masa. Tok tidak akan buat sesiapa menunggu,"
tulisnya lagi.

"Tok dah buat yang terbaik"

Tambah beliau lagi, almarhum tidak pernah marah dan sentiasa tenang walau dibanjiri pelbagai tohmahan dan kutukan dari orang ramai.

Beliau menulis, "Rakyat sukar memberi kemaafan jika pemimpin membuat kesilapan dan Tok sentiasa memastikan dirinya membuat yang terbaik. Apabila saya memberitahunya tentang ada blog atau individu yang menghinanya, Tok tidak pernah marah. Tok sentiasa tenang dan hanya berkata 'Tok sudah buat yang terbaik'."

Dalam satu post yang berasingan, Raja Sarina turut menceritakan tentang perasaan cinta dan sayang almarhum terhadap negeri Kedah

Image via Sinar Harian

Menurut beliau, datuknya itu menganggap negeri Kedah seperti anaknya sendiri yang ditatang dengan penuh kasih sayang.

"Kasihnya untuk Kedah boleh diibaratkan seperti kasih seorang bapa yang penuh dedikasi; baginya Kedah adalah seperti anak kecil yang perlu dilindungi dan ditatang sehingga dapat berdikari dan jalan dengan sendiri.

"Sifat pemurahnya tidak terhad kepada apa yang kita lihat di media; secara senyap-senyap, Tok juga telah menaja pendidikan beberapa orang pemuda sehingga ke peringkat universiti. Melihat rakyatnya berjaya membawa sejuta kegembiraan kepadanya,"
tulis Raja Sarina menerusi satu lagi post di Instagram miliknya.

Dan walaupun beliau kadang kala berasa khuatir tentang kesihatan almarhum untuk memenuhi segala jemputan, almarhum hanya menjawab, "Tidak. Ini tanggungjawab Tok."

Image via thesundaily.my

"Tok sentiasa mencuba yang terbaik untuk memenuhi setiap jemputan acara yang diterima sebagai tanda penghargaan dan hormat; meskipun kadangkala Tok merasa lemah dan kurang sihat kerana Tok tidak mahu menghampakan mana-mana pihak.

"Sehinggakan kami sebagai ahli keluarganya merasakan perlu untuk menasihatinya supaya tidak memudaratkan diri terutama sekali semasa Tok memegang takhta sebagai Agong. Walaupun selepas cubaan untuk meyakinkannya yang pihak lain pasti akan memahami hadnya sebagai seseorang yang sudah dimakan usia, tok masih tegas dengan pendiriannya, 'Tidak. Ini tanggungjawab Tok.',"
tulisnya.

Raja Sarina mengakhiri tulisan penuh perasaan itu dengan memberitahu tentang sesuatu yang beliau pelajari daripada almarhum

Beliau menulis, "Sesuatu yang saya pelajari darripada Tok adalah untuk tidak membiarkan hidup dikawal oleh tohmahan dan hinaan daripada anasir luar. Jika kita hidup dengan berintegriti, kenapa perlu kita berasa gentar? Perasaan tersebut hanyalah untuk Allah SWT, dan Allah SWT sahaja. Al-Fatihah."

Salam takziah buat almarhum sekeluarga. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Image via nx.digital

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca juga...

You may be interested in: