Singapura Akan Ambil Alih Dua Lot Tanah Milik Malaysia? Ini Sebabnya
Pengambilan tanah itu melibatkan kawasan di sekitar Woodlands Checkpoint.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan Singapura telah mengumumkan akan mengambil dua lot tanah milik Malaysia sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk menaik taraf Pusat Pemeriksaan Woodlands (Woodlands Checkpoint)
Menerusi laporan CNA, Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA), Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengeluarkan kenyataan pada Rabu, 4 Jun memaklumkan kedua-dua lot tanah itu seluas kira-kira 0.79 hektar, tidak digunakan dan terletak berhampiran pusat zon pembangunan semula.
Pengambilalihan itu secara rasmi diwartakan pada hari yang sama, dengan pihak berkuasa Singapura menyatakan mereka bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses itu.
"Kami akan meneruskan kerjasama kukuh dengan kerajaan Malaysia bagi mengukuhkan keterhubungan dan hubungan antara rakyat," kata pihak berkuasa Singapura.
Kenapa Singapura nak naik taraf Woodlands Checkpoint?
Sesiapa sahaja yang melintasi sempadan tidak dengan melalui laluan darat antara Johor dan Singapura tahu betapa sesaknya lintasan Woodlands, terutamanya semasa hujung minggu atau cuti sekolah.
ICA berkata naik taraf dengan membesarkan laluan adalah sebahagian daripada pembangunan semula berperingkat yang akan dilaksanakan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang bagi menangani kesesakan.
Pada tahun 2024 sahaja, bilangan pelancong harian melonjak sebanyak 22%, daripada 269,000 pada 2023 kepada 327,000. Rekod baharu dicipta pada 20 Disember 2024, apabila 376,000 orang melintasi pusat pemeriksaan dalam satu hari. Pihak berkuasa menjangkakan angka ini meningkat kepada 400,000 pelancong setiap hari menjelang 2050.
Difahamkan, fasa pertama pembinaan dijangka bermula pada suku tahun ketiga 2025 di Old Woodlands Town Center
Ia termasuk kemudahan pelepasan automatik baharu untuk kargo dan kenderaan tiba, dan lanjutan daripada Lebuhraya Bukit Timah (BKE) untuk memberi laluan terus kepada kenderaan.
ICA juga akan dapat menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi jauh daripada bangunan utama pusat pemeriksaan serta menyediakan kawasan menunggu untuk kenderaan di dalam pusat pemeriksaan bagi mengurangkan kesesakan di Lebuh Raya Bukit Timah (BKE) dan jalan-jalan sekitarnya.
Pihak berkuasa Singapura turut berkata matlamat akhir adalah untuk mengurangkan purata masa perjalanan tempoh puncak kepada hanya 15 minit, sambil mengekalkan piawaian keselamatan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!