seismik

Sekolah Bertingkat Bakal Diperkenal Untuk Bantu Kawal Masalah Kepadatan Murid Di Bandar

Ia sebagai usaha memastikan setiap murid mendapat akses kepada sistem pendidikan yang berkualiti dan relevan.

Cover image via Anwar Ibrahim (Facebook) & Buletin TV3 (Gambar sekadar hiasan)

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu inisiatif sekolah bertingkat dengan kerjasama sektor korporat, akan diperkenalkan bagi membantu menangani masalah kepadatan sekolah di kawasan bandar

Menerusi laporan Bernama, Anwar berkata inisiatif itu bukan saja dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur pendidikan tetapi juga memastikan persekitaran pembelajaran lebih kondusif untuk murid serta guru.

"Inisiatif seperti sekolah angkat dengan dukungan rakan strategik korporat akan diperluaskan bagi membuka lebih banyak peluang pembelajaran kepada murid, terutama dalam bidang kemahiran digital dan daya cipta," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Difahamkan, perkara berkenaan adalah inti pati mesyuarat Perdana Menteri bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan di Putrajaya, semalam.

Tambah beliau, dengan era digital dan kecerdasan buatan (AI), sistem pendidikan negara perlu berkembang seiring perubahan teknologi dengan pendidikan digital akan terus diperkasakan agar murid memperoleh kemahiran teknologi yang diperlukan untuk masa depan.

Mahu setiap murid dapat akses kepada sistem pendidikan yang berkualiti

Sementara itu, Anwar berkata penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus disemarakkan tanpa mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa bagi memastikan pelajar memiliki kelebihan pada peringkat global.

"Peningkatan kemasukan dalam lapangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi fokus utama.

"Langkah ini penting bagi memastikan tenaga kerja negara sentiasa relevan dengan keperluan industri, di samping menjamin kebolehpasaran graduan yang lebih tinggi. Kerajaan juga bersungguh untuk memperluas program TVET ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam pelbagai sektor strategik," katanya.

Menurut beliau, kerajaan beriltizam tegas untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh bagi memastikan setiap murid mendapat akses kepada sistem pendidikan yang berkualiti, relevan dengan keperluan semasa dan mampu membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan.

Malah, keutamaan juga akan diberi kepada pemerkasaan guru sebagai agen perubahan yang berperanan penting dalam mencorak masa depan pendidikan negara.

Dalam pada itu, latihan lebih komprehensif, peningkatan kemahiran pedagogi dan penggunaan teknologi dalam bilik darjah turut diperkukuh bagi memastikan setiap murid memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: