seismik

“Saya Ada Dengar Mereka Sebut Pasal Hutang…” - Lelaki Dibelasah Hingga Maut Di Depan Rumah

"Saya tidak tahu apa punca mereka bertindak sedemikian dan mahu mereka dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang dilakukan." - Ibu Mangsa

Cover image via Berita Harian

Pagi tadi, kira-kira jam 6 pagi, satu tragedi di mana seorang lelaki berusia 28 tahun telah meninggal dunia akibat dibelasah oleh tiga lelaki

Gambar sekadar hiasan.

Image via Johor Kini

Menurut laporan, ketika kejadian itu berlaku, ibu kepada mangsa, Zaleha Muda, 51, sedang bersiap untuk solat Subuh sebelum terdengar jeritan meminta tolong. Pada mulanya, dia menyangka bahawa suara yang didengari itu adalah suara jiran mereka.

Tanpa disangka, ia sebenarnya jeritan anak sulungnya, Ahmad Farid Mohammad, 28, yang telah dibelasah oleh tiga oleh lelaki di Kampung Bukit Gasing, Marang, Terengganu. Dalam kejadian tersebut, mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik dikatakan sempat menceritakan kepada ibunya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Zaleha menjelaskan ketika itu jeritan yang didengari semakin kuat dan menyebabkan dia keluar dengan pantas untuk memeriksa lalu ternampak anaknya berada dalam keadaan lemah dan kesakitan

"Mula-mula ingat orang sebelah rumah namun selepas beberapa kali, saya keluar nampak anak di sebelah kereta sebelum saya papah dia masuk ke rumah.

"Masa itu anak lemah sangat dan dia ada bagi tahu ada tiga lelaki pukul dengan dua daripadanya dikenali. Saya ada juga dengar mereka sebut pasal hutang, namun saya tak pasti sebab anak tidak pernah bercerita.

"Saya tidak tahu apa punca mereka bertindak sedemikian dan mahu mereka dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang dilakukan," katanya.

Malah, Zaleha pada ketika itu begitu risau akan keadaan anaknya itu kerana arwah turut menghidap penyakit lelah dan kelihatan semakin lemah selepas dibelasah oleh suspek.

Zaleha dan suaminya malah sempat mengajar anaknya itu mengucap dua kalimah syahadah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir

Mangsa disahkan meninggal dunia setengah jam selepas kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Gambar sekadar hiasan.

Image via Malay Mail

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Berita terkini hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: