Restoran Di Australia Tawar Kerja Sebagai Penebar Roti Canai Dengan Gaji RM245,000 Setahun
Apa lagi para penebar roti canai, tak nak cuba ke?
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah iklan tawaran pekerjaan sebagai penebar roti canai di Australia mendapat perhatian apabila gaji yang ditawarkan dilihat lumayan jika ditukar dalam nilai ringgit Malaysia
Jawatan sepenuh masa itu disiarkan oleh Roti Bar, sebuah restoran makanan Malaysia di Melbourne, menawarkan gaji AUD70,000 hingga AUD78,000 setahun iaitu bersamaan dengan kira-kira RM220,000 hingga RM245,000 setahun.
Restoran berkenaan mencari individu yang berpengalaman menghasilkan roti canai dari peringkat awal, khususnya seseorang yang boleh mengendalikan pesanan permintaan tinggi dan mengekalkan piawaian kebersihan makanan.
"Adakah anda mahir dalam menebar roti canai? Adakah anda mempunyai kemahiran, kepantasan dan kehalusan untuk membuat roti canai yang sempurna, gebu dan berkualiti?
"Jika anda berbangga dengan teknik tradisi ini dan boleh menyajikan roti yang lazat dan rangup yang membuatkan pelanggan kembali lagi, andalah yang kami mahukan!" tulis iklan jawatan tersebut.
Peranan ini juga menyediakan kelebihan seperti makanan staf, faedah dapur dan penajaan visa untuk calon yang diterima kerja.
Susulan tularnya iklan jawatan tersebut di Reddit, ia telah menimbulkan satu perdebatan sama ada pekerjaan itu berbaloi ataupun tidak
Sesetengah daripada mereka melihat gaji itu adalah berbaloi terutamanya untuk pekerjaan yang tidak memerlukan pendidikan formal atau latihan peringkat tinggi.
"AUD70,000 dilihat agak banyak jika anda berjimat cermat dalam berbelanja dan untuk memulakan hidup di Melbourne. Sudah tentu anda harus mempunyai perancangan lain dan tidak hanya kekal bekerja menebar roti canai.
"AUD70,000 tidaklah seteruk yang anda fikirkan, di Melbourne pula, anda akan mendapat lebih daripada kebanyakan jurutera muda di Malaysia.
"Bagi seorang penebar roti canai, ia adalah wajar memandangkan ia bukan kerja yang memerlukan pelajaran yang tinggi, hanya pengalaman kerja dapur yang baik," kata beberapa pengguna Reddit.
Yang lain berpendapat bahawa walaupun angka itu kelihatan mengagumkan di atas kertas, kos sara hidup di Melbourne memberi gambaran yang berbeza.
"Berhenti tukar nilai mata wang. AUD70,000 hampir tak cukup bagi seseorang yang tinggal di Melbourne.
"AUD70,000 adalah jumlah yang baik tetapi golongan kolar putih di sini mengagung-agungkannya ibarat membolehkan gaya hidup mewah seperti mendapat gaji RM210,000," kata seorang lagi, yang menambah beberapa maklumat lain:
- Cukai: Sekitar AUD15,000 dari atas
- Sewa: AUD26,000/tahun untuk sebuah studio di CBD
- Pengangkutan: AUD2,000/tahun untuk pengankutan awam, lebih banyak jika anda memandu
- Barangan runcit + utiliti + Internet: AUD5,000 atau lebih
"Daripada jumlah AUD70,000 itu, anda telah membelanjakan AUD50,000 untuk kos asas sahaja," tambah mereka.
Seorang pengguna lain berkata, "Tak banyak jika anda mempunyai keluarga dan merancang untuk membeli rumah di Australia. Mungkin ia lebih baik daripada bekerja di ladang, tetapi ia juga merupakan kerja yang sukar kerana perlu sentiasa berdiri dan bekerja di dapur yang panas."
Walaupun tawaran gaji tersebut dilihat lumayan apabila ditukar kepada ringgit Malaysia, rakyat Malaysia di Australia berpendapat ia sebenarnya berada pada tahap gaji kelas pekerja yang sederhana, terutamanya di bandar seperti Melbourne
"Saya tak pasti kehidupan mewah apa yang anda akan lalui, tetapi AUD70,000 adalah gaji yang cukup baik. Gaji minimum di sini adalah kurang daripada AUD50,000 setahun. Ramai antara kenalan saya yang mampu bertahan dengan gaji yang lebih sedikit," kata seorang pengguna Reddit.
Mereka turut memebritahu bahawa jika anda berkongsi penginapan, kadar bayaran sewa boleh turun dengan ketara.
"Kadar sewaan apartmen yang dikongsi adalah sekitar AUD1,500 sebulan setiap bilik, dan separuh daripada itu jika anda tinggal berpasangan. Penyewa saya di Southbank membayar secara purata AUD10,000 setahun bagi seorang penyewa," kata seorang lagi.
Mungkin ia tidak memberi kemewahan seperti di Malaysia, tetapi untuk kerja dapur yang memerlukan kemahiran merangkumi penajaan visa, makanan percuma dan tempat kerja yang baik, sesetengah daripada mereka menganggap ia suatu permulaan yang baik jika mahu memulakan hidup di sana.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!