seismik

[RASMI] Mahkamah Tinggi Bebaskan Ahmad Zahid Hamidi Daripada 40 Tuduhan Kes Rasuah VLN

Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Cover image via BERNAMA

Follow kami di TelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN)

Menurut laporan Berita Harian, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mohd Yazid berkata, selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) itu didakwa menerima suapan daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkaitan kontrak syarikat terbabit sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Keputusan di akhir kes pendakwaan dibuat oleh Hakim Mohd Yazid selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari bermula pada 24 Mei tahun lalu.

Antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan adalah dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.

Sebagai rekod, Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

You may be interested in: