Penjara Kelantan Paling Sesak Di Malaysia, Lebih 80% Banduan Terlibat Dengan Kes Dadah
Difahamkan, trend peningkatan kes dadah di Kelantan sangat membimbangkan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kes penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan disifatkan sangat membimbangkan
Tambahan pula dengan trend peningkatan yang ketara sejak tahun 2022 sehingga tahun ini.
Menerusi laporan Harian Metro, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu berdasarkan data sejak tahun 2022 sehingga tahun ini, jumlah tangkapan, reman dan sabitan menyaksikan peningkatan.
Malah, penjara di Machang adalah yang paling sesak sehingga mempunyai 3,184 banduan dengan 80 peratus daripadanya adalah kesalahan berkaitan dadah.
"Manakala penjara di Pengkalan Chepa yang mempunyai 2,977 bantuan dengan 65 peratus daripadanya juga berkaitan kesalahan dadah.
"Data menunjukkan majoriti dadah yang dirampas adalah daripada kategori sintetik seperti pil kuda dan dadah jenis stimulan. Ganja turut dirampas tetapi dalam jumlah lebih kecil.
"Trend penagihan, pengedaran dan penyeludupan dadah semakin meningkat dan hal ini dapat dilihat melalui jumlah tangkapan serta kes yang berakhir dengan sabitan," katanya.
Arahkan Polis Kelantan dan AADK untuk meningkatkan penguatkuasaan dan mencegah
Jelas Saifuddin Nasution lagi, berdasarkan piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), tahap penyalahgunaan dadah diukur melalui nisbah kes bagi setiap 100,000 penduduk.
"Kelantan dengan populasi 1.8 juta penduduk merekodkan kira-kira 23,000 kes penyalahgunaan dadah berdasarkan data yang diperoleh melalui empat sumber utama iaitu Kementerian Kesihatan, Narkotik Bukit Aman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pusat pemulihan dadah.
"Ini menjadikan nisbah Kelantan melebihi 1,000 kes per 100,000 penduduk, jauh mengatasi purata nasional iaitu 566.
"Kelantan termasuk dalam empat negeri sempadan bersama Kedah, Perlis dan Terengganu yang mencatat kadar tertinggi kes berkaitan dadah, manakala lima daerah tertinggi di negeri itu ialah Jeli, Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh," katanya.
Oleh kerana itu, untuk menangani kes berkenaan, beliau telah mengarahkan Polis Kelantan untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal bekalan dadah serta memperkukuh kerjasama dengan AADK bagi memperkemas strategi pencegahan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!