Peniaga Jual Daging Babi & Makanan Tidak Halal Di Pasar Malam Boleh Dikompaun - MBSA
Difahamkan, makanan tidak halal itu dijual di pasar malam yang turut terdapat peniaga muslim berniaga di lokasi sama.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan kompaun terhadap peniaga yang menjual daging babi di tapak pasar malam Setia Alam pada Sabtu lalu
Ia selepas tular sebuah video yang dikongsikan oleh seorang wanita yang memaparkan tindakan peniaga menjual daging babi secara terbuka di Pasar Malam Setia Alam.
Di dalam video itu, wanita berkenaan menunjukkan keadaan dalam pasar malam berkenaan dengan sebuah gerai menjual 'pork crispy'.
Susulan daripada itu, MBSA telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM300 terhadap lelaki itu dijalankan penguat kuasa MBSA kira-kira jam 6 petang hari sama.
Peniaga didapati tidak berlesen dan berniaga di zon banyak makanan yang halal
Menerusi laporan Sinar Harian, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif berkata, hasil semakan mendapati peniaga terbabit tidak berlesen dan berniaga di zon yang rata-ratanya peniaga Melayu.
"Kita telah mengeluarkan kompaun dan telah diberikan amaran untuk tidak berniaga di pasar berkenaan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sita sekiranya peniaga masih berdegil.
"Pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas," jelasnya.
Jualan daging babi hanya dibenarkan beroperasi di kawasan khas dan pasar tertutup
Dalam satu lagi laporan daripada Sinar Harian, Mohd Azhar memberitahu, penjualan daging babi tidak boleh dilakukan di kawasan terbuka terutama di kawasan pasar malam.
Ia termasuk makanan tidak halal seperti ditetapkan dalam syarat perniagaan pasar malam di bawah MBSA.
"MBSA tidak mengeluarkan sebarang kebenaran atau lesen bagi tujuan itu. Kemungkinan peniaga ini berniaga tanpa lesen.
"Jabatan pelesenan sedang menyemak isu ini. Jika peniaga mempunyai lesen, lesennya akan ditarik balik.
"Jika tiada lesen, MBSA boleh mengeluarkan kompaun di bawah undang-undang kecil penjaja," katanya.
Jelasnya, bagi jualan daging babi, peniaga hanya dibenarkan beroperasi di kawasan dikhususkan dan pasar tertutup.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!