seismik

9 Pengajaran Bermakna Yang Amat Saya Syukuri Pada Setiap Ramadan

#SyukurAlhamdulillah. Kadang-kadang mungkin kita terlepas pandang kepada perkara-perkara kecil yang perlu kita syukuri.

Cover image via youtube.com

1. Paling bersyukur, saya diberi peluang untuk bertemu semula dengan bulan Ramadan

Tingkatkan iman dan tinggalkan perkara sia-sia.

Image via denaihati.com

Ramadan adalah bulan paling mulia di sisi Allah. Kita perlu bersyukur kerana dipertemukan kembali dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Inilah masanya untuk kita perbaiki semula segala kelemahan diri dan tingkatkan ibadah agar lebih dekat dengan Maha Pencipta.

2. Saya mempunyai tempat berteduh yang selesa

Sesetengah orang tidak ada tempat berteduh.

Image via www.rakyattimes.com

Ramai orang di luar sana yang kurang bernasib baik, termasuk yang tidak mempunyai tempat tinggal. Kita? Masing-masing dilimpahi dengan nikmat tidur di atas katil yang empuk beralaskan bantal setiap malam. Tiada apa lagi yang perlu kita keluhkan. Bayangkan jika tidak mempunyai tempat berteduh?

3. Saya dilimpahi dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman

Tidak semua orang dilimpahi dengan nikmat makanan dan minuman setiap hari.

Image via youtube.com

Di bulan Ramadan, antara perkara yang selalu dibincangkan semestinya tentang juadah berbuka puasa. Saya juga tidak terkecuali. Dan Alhamdulillah, kita mempunyai pilihan dalam memilih juadah apa untuk dimakan. Setiap hari pasti ada makanan terhidang di depan mata untuk kita menjamu selera.

4. Saya ada lebih masa bersama keluarga atau lebih family time

Apa yang saya perasan, bulan Ramadan inilah bulan di mana saya dapat luangkan lebih masa bersama keluarga. Saya akan pergi ke bazar bersama, berbuka bersama, sahur bersama, malah banyak masa lain dapat diluangkan bersama orang yang tersayang.

5. Saya membesar di Malaysia, iaitu negara dengan majoriti penduduk Islam

Sebagai negara yang mempunyai tempat beribadah yang baik, kita tidak perlu menunaikan solat di tempat awam.

Image via www.theblaze.com

Di Malaysia, segala aktiviti keagamaan mudah dilakukan. Masjid, surau, atau ruang solat sangat mudah ditemui, walaupun di pusat beli belah mahupun di kedai mamak. Kita tidak perlu menunaikan solat di kaki lima, di tepi jalan, di atas rumput, atau di tempat awam lain kerana kita mempunyai kemudahan untuk beribadah yang baik dan selesa.

6. Saya mempunyai kerjaya yang seimbang dan menggembirakan

Image via www.revasia.com

Yang ini lebih bersifat peribadi. Kerap kali saya diacu dengan soalan, "Kerja kau macam mana?" atau "Kau masih kerja di syarikat yang sama?" bila berjumpa dengan rakan-rakan mahupun saudara-mara. Dan jawapan yang saya beri tetap sama iaitu "Bagus," bagi soalan pertama dan "Ya!" bagi soalan kedua.

Apa yang memilukan saya ialah apabila melihat rakan-rakan saya yang masih tidak mempunyai pekerjaan tetap, masih mencari-cari syarikat mana yang sesuai, atau yang sudah bertukar ke beberapa syarikat dalam masa yang singkat. Oleh itu, saya bersyukur dengan apa yang saya lakukan sekarang.

7. Saya kagum melihat belaian kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu dan ayah

Setiap kali bulan Ramadan, saya pasti berasa kagum melihat keringat yang dicurahkan oleh ibu dan ayah dalam memberi yang terbaik kepada anak-anak. Ibu akan bangun pada pukul 4 pagi untuk menyediakan sahur, kemudian masak pula juadah berbuka di sebelah petang. Si ayah pula sekali sekala akan membawa anak-anak keluar untuk berbuka di luar, semuanya dilakukan demi si anak.

8. Saya lebih menghargai nikmat kesihatan

Image via mulaisehat.com

Seringkali kita suka memandang remeh nikmat kesihatan. Semasa sihat, kita banyak melakukan perkara yang melalaikan dan tidak bermanfaat, malah ada masanya kita lupa kepada yang Maha Esa. Tetapi apabila jatuh sakit, barulah kita sedar betapa pentingnya untuk kita sentiasa sihat. Jadi, gunakanlah kesihatan yang baik untuk menjadi hamba yang soleh disisi-Nya.

9. Saya mempunyai rakan-rakan ketika senang dan susah

Hidup lebih bermakna dengan kehadiran kawan-kawan. Hilai tawa, suka ria, tangisan kesedihan, semuanya dikongsi bersama. Tanpa mereka, kita tidak akan mengenali siapa diri kita yang sebenar. Ternyata, rakan-rakan atau teman rapat memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan kita.

Pada Ramadan ini, ibu-ibu Malaysia juga bersyukur kerana dapat membesarkan anak mereka di negara ini. Lihat apa yang mereka sampaikan DI SINI: