seismik

Pasangan Ini Tinggalkan Dunia Kerjaya & Jelajah Dengan Campervan. Betul-Betul #LifeGoals!

Samantha dan Rene telah menjual sebahagian besar harta termasuk premis pejabat dan perabot rumah untuk mengembara sepenuh masa menggunakan campervan.

Cover image via Facebook 24 Hour Travellers

Setiap seseorang itu mempunyai idea dan cara tersendiri untuk menjalani kehidupan masing-masing

Namun kebanyakan antara kita memilih untuk bekerja bersungguh-sungguh di kala masih muda dan bertenaga ini untuk betul-betul berehat apabila sudah bersara nanti.

Image via Ikim FM

Bahkan persaraan merupakan satu fasa yang dinanti-nantikan oleh ramai orang. Manakan tidak, setelah berhenti kerja, seseorang itu tidak perlu lagi fikir tentang urusan pekerjaan.

Kebanyakan masa akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti beribadat, belajar ilmu baru, bercucuk tanam dan juga melancong. Itulah bayangan yang ideal bagi fasa persaraan. 

Berbeza dengan pasangan Samantha Khoo, 43, dan suaminya, Rene Sullivan, 45, yang memilih untuk 'bersara' awal dengan meninggalkan terus kehidupan bekerjaya untuk menjalani kehidupan yang jauh lebih ringkas

Samantha dan Rene yang masing-masing berasal dari Malaysia dan Singapura telah menjual sebahagian besar harta termasuk premis pejabat dan perabot rumah untuk mengembara sepenuh masa menggunakan campervan di samping singgah dari satu tempat ke tempat lain.

Samantha yang juga bekas pengarah filem syarikat produksi dan pemilik studio fotografi manakala Rene yang bekerja sebagai komposer muzik dan memiliki syarikat sendiri, menutup sepenuhnya perniagaan mereka awal tahun lalu.

Pasangan yang sudah berkahwin selama 20 tahun itu menggelar diri mereka 24 Hour Travellers

Menurut Samantha, dia dan suaminya tidak menyesal bekerja selama ini kerana hakikatnya pekerjaan itu yang membolehkan mereka mengumpul wang yang cukup lalu membuat keputusan menjalani kehidupan secara berkelana ini.

Jikalau sebelum ini, wang yang diperoleh dari hasil bekerja digunakan untuk perkara yang bukan keperluan seperti membeli pakaian dan perabot selain mengekalkan gaya hidup, kini kehidupan mereka jauh lebih tenang serta menjimatkan ekoran penurunan kos perbelanjaan harian serta bulanan disebabkan tidak perlu membeli banyak barang keperluan rumah atau pakaian baru.

“Kehidupan sekarang ringkas, kami belajar membezakan antara keperluan dan kehendak.

“Kami tidak perlukan banyak barang atau pakaian dan bersyukur dengan apa yang ada. Kami lebih menghargai perkara kecil dalam hidup termasuk air dan elektrik,” katanya seperti yang dilaporkan akhbar Harian Metro.

Untuk menjalani kehidupan ini, Samantha dan Rene telah memberli sebuah van Toyota LiteAce Premio terpakai dan mengubahsuainya menjadi campervan yang lengkap dengan bekalan elektrik tenaga solar, ruang tidur, serta kabinet barang dan dapur kecil

Selepas beberapa bulan, mereka memasang set khemah rooftop tent di atas bumbung van berkenaan sebagai alternatif tempat tidur yang lebih luas dan selesa terutama apabila berkhemah di kawasan pantai atau tepi sungai.

“Gaya hidup minimalis dan mengembara menggunakan campervan membuatkan kami lebih menghargai alam semula jadi yang indah.

“Kami juga menikmati kebebasan tanpa perlu terkejar-kejar untuk kembali melakukan rutin pekerjaan seperti sebelum ini,” ujarnya.

Samantha dan Rene selalunya akan berkhemah di tempat yang mempunyai kemudahan tandas dan bekalan air. Walaupun begitu, mereka turut membawa tandas mudah alih untuk waktu kecemasan.

Kedua pasangan ini merancang untuk mengembara menaiki campervan itu menggunakan jalan darat ke London tidak lama lagi dan kini dalam proses membuat persediaan menghadapi perjalanan jauh itu yang mungkin mengambil masa sehingga enam bulan

“Kami mahu menikmati sepenuhnya perjalanan dan pengembaraan itu dengan singgah di mana-mana tempat atau negara yang disukai dan meluangkan masa yang lama di situ,” kata Rene.

Samantha dan Rene aktif mencari dana untuk perjalanan itu melalui platform dalam talian termasuk YouTube, Patreon, Facebook dan laman web.

Menurut mereka, platform terbabit juga digunakan untuk berkongsi kisah pengembaraan selain aktiviti campervan di Malaysia yang kini semakin mendapat perhatian terutama golongan yang mahu menikmati percutian lebih bebas, mencabar dan menjimatkan.

Boleh lihat di bawah antara video-video penjelajahan Samantha dan Rene:

Menariknya kehidupan on the road ini!

Image via Giphy

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel terkini di SAYS Seismik!

You may be interested in: