Nahas UPSI: Tiada Petunjuk Kegagalan Pada Sistem Brek Bas - Puspakom
Perkara itu didedahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi satu laporan awal membabitkan nahas berkenaan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menerusi siasatan yang dijalankan Puspakom, tiada bukti kegagalan sistem mekanikal termasuk sistem brek bas persiaran yang terbabit dalam nahas meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memerusi sebuah kenyataan mendedahkan keadaan fizikal brek bas, ‘brake lining’ dan ‘brake drum’ bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan yang memuaskan berdasarkan laporan awal teknikal yang disediakan Puspakom.
"Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada brake drum mahupun kenipisan pada brake lining. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan.
"Dari pemeriksaan fizikal tayar, didapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.
"Komponen bahagian steering dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan.
Berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan," katanya.
Langkah penambahbaikan bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksana berdasarkan penemuan akhir kelak
Bagi memastikan keselamatan jalan raya dipertingkatkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mempertimbangkan dan melaksanakan langkah yang bersesuaian sejurus penemuan akhir didapatkan.
"Langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.
"MOT ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami. Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan.
"Kepada semua keluarga mangsa, MOT merakamkan ucapan takziah dan komited untuk memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!