Nahas UPSI: Ini Versi Keterangan Mangsa Vs Pemandu Bas
Bas membawa 42 pelajar universiti itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu, dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbalik.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas insiden tragis yang meragut 15 nyawa tempoh hari, pelbagai versi cerita yang kita dengar sehingga lah ke hari ini
Terdapat beberapa versi cerita telah dikeluarkan oleh mereka yang terlibat termasuklah para mangsa dan pemandu bas terbabit.
Di sini kami himpunkan kenyataan mereka.
Mangsa - Lili Suzana
Menerusi laporan Harian Metro, salah seorang mangsa yang terselamat, Lili Suzana memberitahu dia telah memberi amaran bahawa bas tersebut dipandu terlalu laju.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang berkesempatan bertemu mangsa, dia sudah menegur pemandu bas tetapi tidak diendahkan.
"Dia (Lili Suzana) berkata pemandu memandu laju dan dia menegur pemandu berkali-kali supaya tidak memandu dengan laju.
"Dia masih trauma. Dalam situasi sebegitu, sesiapa pun pasti akan trauma, apatah lagi apabila kenderaan terbalik.
"Kita dapat lihat kesan trauma itu dengan jelas, jadi kita tawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa dan juga ahli keluarga mereka," kata Noraini.
Mangsa - Nur Izzati
Menurut seorang lagi mangsa, Nur Izzati, memaklumkan dia terus tidur sejurus masuk ke dalam yang kemudiannya terjaga selepas mendapati bas dipandu laju.
"Sebelum berlaku kejadian tu, saya tersedar, saya dah pelik dah kenapa bas ni laju, laju sangat-sangat.
"Masa laju tu saya dah pelik. Ada penghadang dekat tepi saya, saya pegang sebab dia punya laju. Saya kejut orang sebelah saya, saya pegang tangan dia.
"Bas tu laju sebab dia dah hilang kawalan. Tak ada brek tak ada apa, dia tak boleh buat apa dah, dia mampu elak semua kereta je," katanya.
Mangsa - Farhana
Menerusi laporan Sinar Harian, Seorang lagi mangsa yang terselamat, Farhana, memaklumkan dia terdengar pemandu bas terbabit sedang marah sebelum bas berkenaan terbalik.
"Semasa bas bergerak dari Jertih, saya tidur, tetapi sekitar jam 12.45 tengah malam, saya terjaga sebab terdengar suara pemandu marah-marah.
"Butiran marah tak berapa jelas, sama ada dia marah keadaan bas atau sebab kereta di hadapan, saya tak pasti," katanya.
Tambah Farhana, beberapa penumpang lain yang tidak tidur dilihat menjenguk situasi tersebut bagi mengetahui apa yang berlaku.
Bagi pemandu bas itu pula, apa yang berlaku adalah brek kenderaan tersebut tidak berfungsi
Menerusi laporan Kosmo, Menjawab dakwaan pemandu bas sedang marah sebelum kejadian berlaku, Mohd. Amirul Fadhil Zulkifle, 39 tahun berkata, dia terpaksa menjerit memberi peringatan kepada penumpangnya selepas mendapati kegagalan fungsi brek.
"Saya sebenarnya bukan marah, tetapi menjerit ‘brek’ untuk memberi peringatan kepada penumpang yang kebanyakannya sedang tidur di dalam bas.
"Ikhlas daripada hati, saya memohon maaf kepada keluarga dan mangsa yang terlibat dalam nahas itu. Saya sudah cuba untuk menyelamatkan keadaan, tetapi brek sudah kosong dan tidak berfungsi," katanya.
Polis meminta pemandu pas terbabit tidak keluarkan kenyataan lagi
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata perkara itu diarah bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan di samping untuk tidak mencetuskan spekulasi.
"Sebarang kenyataan awal boleh membawa kepada spekulasi yang tidak wajar. Kami bimbang sebarang kenyataan atau penjelasan yang diberikannya boleh mengganggu siasatan. Itulah istilahnya, mengganggu siasatan.
"Jadi, lebih baik dia tunggu sehingga siasatan selesai kerana jika tidak, ia mungkin mencetuskan lebih banyak spekulasi dan pastinya akan mengganggu siasatan.
"Kami hanya boleh menasihatkannya supaya bersabar dan tunggu sehingga kenyataannya direkodkan secara rasmi. Selepas itu, dia boleh kata apa sahaja kerana terdapat banyak sudut dalam siasatan ini." katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!