seismik

10 Resipi Masakan Masak Lemak Cili Padi Popular Di Negeri Sembilan. Memang Sodap Tekau!

Cubolah yang mano berkonan, memang sodap bilo makan.

Cover image via aynorablogs.com

Seperti yang diketahui, Negeri Sembilan memang begitu terkenal dengan masakannya yang pedas dan bersantan. Salah satunya adalah masak lemak cili padi.

Buat orang Negeri Sembilan dan peminat masakan pedas, apabila dengar sahaja Masak Lemak Cili Padi pasti membuatkan teringat-ingat rasa kuahnya yang pedas dan berlemak.

Jadi hari ini, kami nak kongsikan kepada anda 10 masakan masak lemak cili padi yang popular di Negeri Sembilan dan yang penting kami sediakan resipi sekali untuk anda cuba!

1. Ikan 'milang' salai masak lemak cili padi

Image via karangkraf.com

Bahan-bahan:

Bahan utama
Ikan sembilang
Beberapa biji tomato ceri
4 biji lada padi
1/2 sudu kecil kunyit serbuk
2 batang serai (dititik)
Sedikit hirisan halia
2 sudu besar santan

Bahan kisar
4 biji lada merah
5 biji lada padi
Setengah biji limau kasturi (buang bijinya)

Cara-cara memasak:

1. Salai dulu ikan sembilang yang telah digaulkan dengan serbuk kunyit bersama garam. Nak lebih sedap, salai ikan menggunakan hampas kelapa. Lebih autentik!

2. Setelah siap salai. Masukkan bahan-bahan kisar tadi sehingga naik bau. Kemudian, masukkan hirisan halia, serai, lada api, serai dan santan. Kacau dan biarkan sampai mendidih.

3. Masukkan ikan sembilang yang telah disalai tadi perlahan-lahan supaya isi ikan tidak hancur. Biarkan beberapa minit supaya ikan dan kuah tadi sebati. Siap dihidang!

TIPS: Basuh ikan dengan menggunakan garam dan air asam untuk membuang hanyir.

2. Ayam kampung masak lemak cili padi bersama nangka

Image via aynorablogs.com

Bahan-bahan:

1 ekor ayam kampung
2 biji kentang dipotong sederhana
3-4 potongan buah nangka
2 batang serai (dititik)
6-8 biji cili padi (nak pedas boleh tambah lebih)
2 cawan santan + 1 cawan air
1 keping asam gelugor
Sedikit kunyit hidup/ kunyit serbuk
Sedikit garam

Cara-cara memasak:

1. Kisar halus ataupun tumbuk cili padi bersama kunyit hidup hingga lumat. Kemudian curahkan ke dalam periuk bersama ayam kampung dan masukkan serai yang telah dititik tadi. Masukkan juga sedikit air untuk proses pengecutan ayam, kacau sebati dan biarkan sebentar.

2. Masak sehingga ayam betul-betul empuk, kemudian masukkan 2 cawan santan masa ni guna api perlahan, dan kacau selalu, setelah kuah agak mendidih baru masukkan kentang dan potongan nangka. Setelah kentang agak empuk masukkan pula asam gelugor dan sedikit garam. kacau selalu.

3. Masak sehinga kuah pecah minyak, angkat dan sedia untuk dihidangkan panas-panas. Selamat mencuba!

TIPS: Pastikan ayam berubah saiz untuk mengetahui sama ada ia benar-benar kecut.

Sumber: jintanmanis.com

3. Daging salai masak lemak cili padi bersama belimbing buluh

Bahan-bahan:

Bahan utama

1 kg daging salai
15 biji belimbing buluh
4 batang serai dititik
Semangkuk santan segar
3 keping asam gelugor

Bahan kisar

4 ulas bawang merah
Segenggam cili padi kampung (lebih pun boleh)
1 inci halia
2 inci kunyit hidup

Cara-cara memasak:

1. Masukkan kesemua bahan kisar kedalam periuk berserta daging salai dan renih sebentar sambil digaul dengan sudip.

2. Tuangkan santan kedalam periuk bersama serai dan asam keping. Sentiasa kacau. Kemudian, bubuh garam dan serbuk perasa jika suka.

4. Apabila mendidih, masukkan pula belimbing dan kacau rata. Masak diatas api perlahan sehingga belimbing lembut. Kelembutan belimbing menentukan masakan anda sama ada sudah masak atau tidak.

TIPS: Rebus daging dulu sebelum salai untuk dapatkan daging yang betul-betul lembut.

Sumber: iresipi.com

4. 'Tolo' itik masak lemak cili padi bersama kulit rambai

Bahan-bahan:

15 biji cili padi
1 inci kunyit hidup
1 biji santan kelapa
10 biji telur itik
20 biji kulit rambai (hiris halus)

Cara-cara memasak:

1. Tumbuk cili padi dan kunyit hingga lumat.

2. Masukkan cili dalam periuk, tambah santan dan masak atas api sederhana. Kacau selalu agar santan tidak pecah minyak.

3. Apabila santan mendidih, masukkan garam secukup rasa dan kulit rambai. Kemudian, masukkan telur sebiji demi sebiji.

5. Biarkan sebentar sebelum diangkat.

TIPS: Jangan sesekali guna pengisar bagi mendapatkan rasa yang asli.

Sumber: Majalah MIDI

5. Perut lembu masak lemak cili padi

Bahan-bahan:

Perut lembu (direbus dan dipotong)
1/2 biji kelapa (perah santannya~asingkan yang pekat dan cair)
3 ulas bawang merah (dihiris)~kalau rajin boleh tumbuk dengan lesung batu
1 keping asam gelugor
1 batang serai (dititik)
5 biji cili padi
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Cara-cara memasak:

1. Perut lembu direbus hingga lembut/empuk dan dipotong mengikut citarasa masing-masing.

2. Masukkan santan cair ke dalam periuk dan rebuskan. Kemudian, masukkan bawang merah yang telah dihiris, serai yang dah dititik, serbuk kunyit dan asam gelugor. Rebuskan lagi hingga mendidih.

3. Masukkan pula perut lembu yang dah dipotong dan rebuskan lagi sekali. Selepas itu, masukkan cili padi dan masukkan garam secukup rasa.

4. Akhir sekali, masukkan santan pekat. Biarkan atas api yang perlahan supaya tidak pecah minyak. Tunggu beberapa minit dan sudah siap untuk dihidang!

TIPS: Semasa merebus perut lembu, masukkan halia sekali untuk hilangkan bau.

Sumber: Teratak Resepi Ummi

6. Ikan parang terung pipit masak lemak cili padi

Bahan-bahan:

1 potong ikan parang
Segenggam terung pipit
1 inci kunyit hidup
6 biji cili padi
1 asam keping
Santan
Garam

Cara-cara memasak:

1. Kisar cili padi dan kunyit hingga halus. Masakkan bahan kisar dengan ikan hingga agak kering.

2. Kemudian, masukkan santan dan kacau dengan api perlahan.

3. Seterusnya, masukkan terung pipit dan kacau lagi. Akhir sekali, masukkan asam keping dan garam. Sesuaikan rasa dan kepekatan.

4. Tutup api dan sudah boleh makan!

TIPS: Sesuaikan bilangan terung pipit dengan saiz hidangan ikan untuk mengelakkan rasa pahit.

Sumber: Azie Kitchen

7. Ikan masin kurau masak lemak cili padi bersama nanas

Bahan-bahan:

6 ketul isi ikan kurau (dibersihkan)
1/2 biji nenas (dipotong nipis)
6 biji cili padi (ditumbuk)
3 biji bawang merah (ditumbuk)
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 batang serai (diketuk)
1 kotak santan segera
Garam secukup rasa

Cara-cara memasak:

1. Masukkan bahan tumbuk dan serai ke dalam periuk. Kemudian, masukkan nanas dan sedikit air. Biarkan seketika sehingga nenas nampak layu sedikit.

2. Masukkan isi ikan kurau dan apanbila kuah mulai mengering, masukkan santan dan garam. Biarkan sebentar.

3. Tatkala kuah menggelegak kali pertama terus tutup api. Supaya mengelakkan santan pecah.

TIPS: Pastikan nanas tidak begitu masam atau manis supaya mendapatkan rasa yang seimbang.

Sumber: azanis.blogspot.com

8. Cendawan kukur masak lemak cili padi

Bahan-bahan:

Satu piring cendawan kukur yang telah dibuang kulit bawahnya dan dibersihkan
Sedikit ikan bilis yang ditumbuk kasar
2 batang serai (dibelah dua ataupun dititik)
6-8 biji cili padi
1 cawan santan + 1 cawan air
1 keping asam gelugor
Sedikit kunyit hidup atau kunyit serbuk
Sedikit garam

Cara-cara memasak:

1. Kisar halus ataupun tumbuk cili padi bersama kunyit hidup hingga lumat. Kemudian curahkan ke dalam periuk dan masukkan serai yang telah dititik tadi, kacau sebentar.

2. Selepas itu masukkan 1 cawan santan dan 1 cawan air serta ikan bilis. Ketika ini gunakan api perlahan, dan kacau selalu.

3. Setelah kuah agak mendidih baru masukkan cendawan kukur, biarkan seketika. Akhir sekali masukkan asam keeping dan garam. Kacau selalu.

3. Biarkan kuah mereneh seketika, angkat dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas, Selamat mencuba!

TIPS: Asam gelugor hanyalah optional. Jika anda tidak suka rasa masam, jangan gunakannya dalam masakan ini.

Sumber: jintanmanis.com

9. Ketam masak lemak cili padi

Image via iresipi.com

Bahan-bahan:

Bahan utama

3 ekor ketam segar
1 batang serai, dititik
1 helai daun kunyit, carikkan
2 cawan santan pekat
1 keping asam gelugor

Bahan kisar

5 biji cili api
2 biji cili merah
1/2 biji bawang besar
1 inci kunyit hidup
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Secubit belacan

Cara-cara memasak:

1. Bersihkan ketam, dan leraikan bahagian kaki yang bersepit. Ketuk kulit ketam dengan lesung batu sehingga kulit sedikit pecah supaya senang dimakan kemudian.

2. Gaulkan ketam dengan bahan kisar halus dan masak seketika selama lebih kurang 5 minit. Kemudian masukkan pati santan. Boleh juga dicairkan kuah dengan sedikit air jika terlalu pekat.

3. Perlahankan api dan kacau supaya santan tidak berketul. Masukkan asam keping, serai dan daun kunyit.

4. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan masak sehingga mendidih.

TIPS: Jika ketam betina yg mempunyai telur anda tidak perlu buang kulit (seperti dalam gambar). Jika ketam biasa, buang kulit dan potong dua bahagian dan leraikan kaki bersepit.

Sumber: iresipi.com

10. Siput 'sodut' masak lemak cili padi

Bahan-bahan:

Bahan utama

1 kg siput sedut @ belitung
2 keping asam gelugor
1 liter santan cair
300 ml pati santan
3 batang serai (dititik)
3 helai daun kunyit (disiat)
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar

3 biji cili merah
10 biji cili padi hijau kampung
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan
8 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji buah keras

Cara-cara memasak:

1. Siput sedut @ belitung, dicuci bersih, kemudian kerat hujungnya, anggaran 3 ruas.

2. Buat hingga siap. Cuci kembali dan toskan. Kemudian, masukkan ke dalam periuk bersama bahan-bahan kisar dan 1 keping asam gelugor dan sedikit garam serta serai.

3. Gaul rata dan masak hingga mendidih. Matikan api dan ketepikan. Seterusnya, ambil keladi dan potong baji kemudian rendamkannya. Rebus keladi dalam air mendidih yang telah diletak bersama 1 keping asam gelugor dan sedikit garam hingga 3/4 empuk. Masukkan batang keladi dan celur sekejap hingga lembut.

4. Dalam periuk berisi siput tadi, tuang santan cair, didihkan dan masuk batang/isi keladi. Seterusnya tuangkan pati santan. Tambah garam secukup rasa, daun kunyit dan sedikit gula. Biarkan sekejap dan siap!

TIPS: Dapatkan siput yang bersaiz sederhana kerana ia lebih manis.

Sumber: ezadlieza.blogspot.my

Selamat mencuba!

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Cuba juga resipi-resipi mudah makanan kegemaran anda di bawah:

You may be interested in: