seismik

"Malam Bersejarah!" - Malaysia Akhirnya Layak Ke Piala Asia 2023 Secara Merit

Kali terakhir Malaysia melakukannya adalah ketika Kelayakan Piala Asia 1980.

Cover image via Nasirruddin Yazid/FAMalaysiaOfficial

Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.

Skuad Harimau Malaya akhirnya berjaya menamatkan kemarau 43 tahun untuk layak ke pentas Piala Asia 2023 secara merit!

Ia susulan selepas menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir peringkat kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Skuad negara kendalian Kim Pan-gon membuat kejutan dengan merombak kesebelasan utama termasuk memberi peluang kepada penjaga gol muda, Ahmad Syihan Azmi selain lilitan kapten diberikan buat Syafiq Ahmad.

Percaturan berkenaan berhasil selepas skuad Harimau Malaya terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Safawi Rasid pada minit ke 16 selepas Matthew Davies menerima terjahan keras daripada pemain lawan.

Safawi juga hampir menjaringkan gol kedua untuk negara pada minit ke 18 namun tandukkannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Bangladesh, Anisur Rahman. Anisur juga cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya jentera serangan skuad negara.

Pada minit ke 32, Stadium Nasional Bukit Jalil bergema dengan sorakan penyokong Bangladesh apabila pasukan mereka berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Mohammad Ibrahim yang mudah menewaskan Syihan Hazmi.

Bagaimanapun, kegembiraan penyokong pelawat itu tidak bertahan lama apabila Dions Cool memanfaatkan peluang keemasan dengan melakukan rembatan leret dari sebelah kanan sehingga menewaskan Anisur Rahman untuk gol kedua Malaysia pada minit ke 37.

Malaysia berjaya menamatkan aksi Kumpulan E di tempat kedua dengan enam mata

Bersambung pada babak kedua, skuad negara meneruskan momentum yang sama dan meraih gol ketiga hasil tandukan Syafiq yang bijak menyudahkan hantaran Faisal Halim pada minit ke-47.

Selepas selesa 3-1, Pan-gon mula mencongak strategi dengan memasukkan beberapa pemain daripada bangku simpanan seperti Akhyar Rashid, Darren Lok, Nazmi Faiz Mansor dan V. Ruventhiran.

Keputusan tidak menjejaskan momentum serangan Harimau Malaya selepas Darren meledak gol keempat pada minit ke-73 hasil gerakan lincah yang direncakan oleh Akhyar.

Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan Harimau Malaya menempah tiket ke Piala Asia 2023 menerusi slot tempat kedua terbaik kumpulan selepas mengumpul 6 mata serta mempunyai kelebihan dari segi perbezaan jaringan.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad negara menamatkan kemarau 15 tahun selepas kali terakhir beraksi dalam kancah bola sepak terbesar benua Asia itu pada 2007 selaku tuan rumah.

Lebih manis, ini adalah kali pertama skuad Harimau Malaya layak secara merit dalam tempoh 43 tahun selepas edisi 1980. 

Tonton video penuh aksi skuad Harimau Malaya ketika menewaskan Bangladesh 4-1 di bawah:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: