Kurang 0.15 Meter Dari Rekod Dunia, Pokok Betik Setinggi Empat Tingkat Dijumpai Di Sarawak
Untuk rekod, pokok betik tertinggi di dunia kini terdapat di Brazil dengan ketinggian 14.55m.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tahukah anda, ketinggian luar biasa sebatang pokok betik di kawasan asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau 2 di Sarawak mencuri perhatian orang ramai di media sosial baru-baru ini
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Facebook oleh Cikgu Masli, ketinggian pokok terbabit hampir melepasi bumbung bangunan tiga tingkat asrama berkenaan.
Menurut guru tersebut, pokok yang ditanamnya itu kini mencapai ketinggian 14.40 meter (m) kurang 15 sentimeter berbanding pokok betik tertinggi di dunia yang direkodkan di Brazil.
"Betik tertinggi terdapat di asrama lelaki SMK Julau 2, manakala betik tertinggi di dunia dijumpai di Brazil mempunyai ketinggian 14.55m," tulisnya pada hantaran itu.
Semakan di Portal Tajria.com mendapati sebatang pokok betik berketinggian 14.55m ditemui di ladang buah milik Tarcísio yang terletak di Nova Aurora, Parana pada 2 September 2021
Tambah Cikgu Masli lagi, meskipun pokok itu telah beberapa kali berbuah, namun dia tidak pernah merasai hasilnya kerana cepat rosak sebelum matang.
"Sebagai penjaga pohon betik yang menarik perhatian sekarang ini dan tengah viral, pihak kami belum dapat membenarkan orang awam untuk datang dan melihat pokok betik ini.
"Memandangkan pokok ini tumbuh dalam kawasan asrama yang menjadi kawasan larangan bagi orang awam.
"Beberapa orang awam dan pihak luar telah menghubungi saya. Namun, buat masa ini kami belum boleh membenarkan mana-mana pihak untuk datang.
"Pihak kami akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk meminta pendapat dan buah fikiran mereka," ujarnya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!