seismik

Ketua SPRM: “Saya Diugut Lepas Jawatan, Diekori Hingga Ke USA & Hampir Mati Kerana 1MDB”

Beliau yang sebelum ini telah bersara dilantik semula bagi membantu dalam siasatan kes 1MDB.

Cover image via SAYS via ismaweb

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru dilantik Datuk Seri Mohd Shukri Abdull hiba apabila menceritakan pengalamannya terpaksa melarikan diri ke Amerika Syarikat dari pihak berkuasa Malaysia

Image via Reuters

Insiden ini berlaku pada tahun 2015 selepas bekas ketuanya, Tan Sri Abu Kassim yang merupakan Ketua SPRM ketika itu memutuskan untuk mendakwa Perdana Menteri keenam, Dato' Sri Najib Razak atas RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank peribadinya.

Mereka telah menemui bahawa salah satu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu SRC International telah memindahkan berjuta-juta ringgit ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri tersebut.

Menurut DS Shukri lagi, Tan Sri Abu Kassim ada bertanya kepadanya terlebih dahulu sama ada beliau bersedia untuk menerima akibat mendakwa DS Najib Razak yang mungkin membawa kepada pemecatan mereka.

"Saya berkata 'tidak ada masalah', kerana saya bersedia melakukannya demi negara ini," kata DS Shukri pada sidang akhbar di ibu pejabat SPRM tadi.

Walau bagaimanapun, pada Julai 2016, apabila Tan Sri Abu Kassim ingin mendakwa DS Najib Razak, bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail telah disingkirkan dari kedudukannya

Bahkan, pengumuman penyingkiran itu turut disertai dengan pengumuman Kabinet dirombak yang juga menyaksikan pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di mana kedua menteri itu dikatakan lantang mempersoalkan isu 1MDB secara terbuka.

Tan Sri Abu Kassim yang merupakan Ketua SPRM semanjak 2010, digantikan oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Dengan semua pemecatan ini, DS Shukri membuat keputusan untuk pergi ke Washington pada 31 Julai 2016 untuk membangkitkan isu 1MDB kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

DS Shukri berkata, sebelum beliau pergi ke Washington, beliau sudah pun menghadapi tekanan hebat

"Saksi yang saya temubual telah dilarikan.

"Saya diugut untuk dipecat, diminta untuk bersara awal malah diugut untuk dihantar ke bahagian latihan," katanya.

Beliau juga berkata bahawa beliau telah menerima ancaman daripada Whatsapp, menerima ancaman di kediaman rumahnya dan beliau juga turut dihantar peluru di mana beliau menyifatkan pengalaman itu sebagai 'menakutkan'.

“Pengalaman saya dalam kes SRC dan 1MDB amat menakutkan, saya hampir mati dalam kes ini," tambahnya lagi.

Episod perjalanan di Washington juga mempunyai dramanya tersendiri.

"Saya nampak seseorang mengikuti saya (di Washington). Pasukan saya di Amerika Syarikat mengambil gambar lelaki yang mengikuti saya.

"Saya menghantar gambar kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki, dan memintanya menghantarnya kepada Jeneral Polis," katanya sambil menambah bahawa beliau tahu bahawa lelaki itu mengekorinya.

Shukri berkata beliau berasa tidak selamat di Washington dan memutuskan untuk pergi ke New York, di mana beliau bertemu dengan rakan yang bekerja di Jabatan Polis New York (NYPD). Menurut beliau,

"Saya mendapat perlindungan daripada NYPD dan mereka memberikan saya tiga pengawal peribadi."

Dengan mengenang semula insiden ini, DS Shukri sebak dan hiba semasa sidang akhbar tersebut, di mana beliau berasa bersalah apabila diberitahu bahawa pegawai-pegawai yang bekerja untuknya telah ditangkap

Image via ismaweb

"Saya menangis di hadapan mat salleh. Saya dan Tan Sri Abu Kassim telah dituduh mempunyai konspirasi menjatuhkan kerajaan (Barisan Nasional).

"Kami hanya mahu membawa kembali wang yang dicuri kembali ke negara kita. Sebaliknya kami dituduh sebagai pembelot," katanya lagi.

Persidangan akhbar ini diadakan sejurus selepas DS Najib Razak tiba di Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan beliau mengenai skandal 1MDB.

DS Shukri memberitahu sidang akhbar itu bahawa bekas Perdana Menteri itu dipanggil hanya untuk memberi keterangan dan bukan untuk menangkap mahupun menuduhnya.

Siasatan 1MDB yang dibuka semula ini akan diterajui oleh SPRM serta Pasukan Petugas Khas Siasatan 1MDB yang baru dilantik itu akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi membawa kembali wang tersebut yang telah dibelanjakan di seluruh dunia seperti di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Lihat kenyataan penuh Ketua SPRM terbabit dibawah:

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel menarik di SAYS SEISMIK:

You may be interested in: