Kerajaan Negeri Johor Sokong Cadangan Projek Jejambat Untuk Lintasan Hidupan Liar
Difahamkan, pelaksanaan itu bukan sahaja untuk keselamatan haiwan, tetapi juga pengguna jalan raya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan Johor menyokong pembinaan projek jejambat yang menyediakan lintasan khusus untuk haiwan liar merentasi jalan-jalan utama di negeri itu
Menerusi laporan Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tiang Soon berkata, pelaksanaan itu bukan sahaja untuk keselamatan haiwan, tetapi juga pengguna jalan raya.
"Projek pembinaan jejambat lintasan hidupan liar ini adalah kesinambungan usaha berterusan kerajaan dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar akibat fragmentasi habitat di sepanjang rangkaian Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS).
"Lintasan ini bukan sekadar infrastruktur fizikal tetapi mencerminkan pendekatan bersepadu kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memastikan kesinambungan ekologi, keselamatan haiwan dan pengguna jalan raya serta pemuliharaan jangka panjang biodiversiti," katanya.
Setakat ini, difahamkan tapak projek itu dikenal pasti di kawasan Koridor Ekologi CFS2 yang melibatkan Hutan Simpan Labis Timur, Hutan Simpan Mersing dan Hutan Simpan Lenggor
Lokasi lintasan itu dicadangkan dibina di Kilometer (KM) 102, Laluan FT50 Batu Pahat-Jemaluang membabitkan peruntukan RM66.2 juta.
Beliau berkata lagi, pihaknya menghargai bantuan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) atas penyaluran peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada Johor dengan sebahagian akan digunakan untuk beberapa inisiatif utama termasuk operasi translokasi gajah bermula Julai sehingga Disember ini.
Peruntukan tersebut turut digunakan untuk penubuhan Kumpulan Pelindung Hidupan Liar (KPHL) di kampung di daerah Kluang yang sering terkesan dengan peruntukan RM226,000.
"Ketiga, pemasangan kolar satelit pada gajah untuk membolehkan sistem amaran awal berfungsi secara berkesan. Sehingga kini, dua unit kolar satelit berjaya dipasang dan operasi pemasangan akan diteruskan sehingga kesemua stok sedia ada habis digunakan.
"Selain itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor kini dalam proses perolehan lima unit tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan kolar satelit yang dimiliki sebanyak 10 unit.
"Sebanyak 21 kawasan dikenal pasti untuk pembinaan food bank gajah dan sesi libat urus bersama peladang telah diadakan bagi memastikan keberkesanan inisiatif ini. Diharapkan, konflik manusia dan gajah dapat dikurangkan serta pada masa yang sama memelihara kelangsungan spesies gajah," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!