Kerajaan Negeri Disaran Untuk 'Haramkan' Penjualan Vape Terus Bagi Lindungi Generasi Muda
Hal ini kerana ia telah memberi ancaman kepada kesihatan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Semua kerajaan negeri digesa untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape
Hal itu perlu dilakukan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri kerana memberi ancaman kepada kesihatan, selain didakwa menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.
Menerusi laporan Harian Metro, Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Penjagaan Primer, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin memberitahu penggunaan vape boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan serius termasuk masalah paru-paru, gangguan jantung dan kesan neurologi terutama kepada golongan muda.
Beliau berkata vape bukan sahaja menyebabkan ketagihan, malah semakin ramai remaja mula menggunakannya kerana mudah diperoleh dan dianggap 'tidak berbahaya'.
"Dalam konteks kesihatan awam, langkah pengharaman penjualan vape penting bagi melindungi generasi muda dan mengawal penularan tabiat ini yang boleh menjadi lebih serius daripada rokok konvensional.
"Ia juga salah satu cara pembaziran duit yang menjejas ekonomi individu dan keluarga penghisap vape secara langsung. Jika tidak dikawal, ia boleh mencetuskan krisis kesihatan awam yang baharu.
"Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2015 memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram kerana memudaratkan kesihatan, oleh itu tidak patut lagi timbul isu pengharaman di peringkat negeri kerana ia sepatutnya di peringkat Kerajaan Persekutuan," katanya.
Dakwaan vape jalan alternatif untuk perokok tegar tidak benar
Menurut Dr Nur Amani Natasha, apa yang lebih membimbangkan, vape umpama 'pintu' kepada penyalahgunaan dadah seperti ketamine, heroin methamphetamine dan etomidate.
Bukan itu sahaja, dia juga menyangkal dakwaan bahawa vape adalah alternatif untuk perokok tegar meninggalkan rokok (biasa) adalah tidak benar sama sekali.
"Ramai yang mula guna vape untuk berhenti merokok, tetapi akhirnya ketagih kedua-duanya.
"Kandungan utama dalam vape ialah nikotin, iaitu bahan penyebab ketagih. Ia merangsang otak dan buatkan pengguna rasa seronok yang seketika sahaja, tetapi sukar untuk berhenti.
"Setelah kesan nikotin ini habis di reseptor otak, pengguna vape akan automatik mendapat 'signal' untuk menghisap vape lagi. Selain itu, vape juga mengandungi bahan kimia berbahaya serta perisa dan pewarna yang menambah tarikan, terutamanya dalam kalangan remaja.
"Kombinasi ini menjadikan 'vaping' sebagai satu tabiat yang sukar dihentikan, malah ada yang mengatakan lebih susah daripada berhenti (menghisap) rokok biasa," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan memberitahu kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.
Ia selepas pendedahan terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape mengandungi bahan dicampur dadah yang jika tidak dikekang boleh menjadi ancaman baharu di negara ini.
Pada masa ini, Johor masih kekal melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape sejak 1 Januari 2016. Ia termasuk menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti berkenaan
Bagi Kerajaan Selangor pula dilaporkan akan meneliti keperluan mengharamkan penjualan vape dengan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!