Kenapa Sekarang Banyak Sangat Kes Autisme? Ini Jawapan & Punca-Puncanya
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, bilangan kes autisme yang didiagnosis semakin meningkat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Apa itu autisme?
Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) adalah gangguan perkembangan neurologi yang memberi kesan kepada komunikasi, tingkah laku, dan interaksi sosial seseorang.
Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, bilangan kes autisme didiagnosis didapati semakin meningkat.t — tapi adakah ini bermaksud lebih ramai orang dilahirkan dengan autisme sekarang?
Peningkatan Kes Autism: Adakah ini realiti atau ilusi statistik semata-mata?
1. Kesedaran masyarakat yang lebih tinggi
Masyarakat kini lebih peka terhadap tanda-tanda autism. Ibu bapa, guru dan pengasuh lebih cepat menyedari tanda-tanda awal seperti kesukaran dalam komunikasi atau tingkah laku berulang. Ini membawa kepada peningkatan saringan dan diagnosis awal.
2. Kriteria diagnostik yang lebih luasSejak autism diletakkan dalam kategori spektrum (ASD), ia kini merangkumi pelbagai tahap — daripada kes ringan seperti Asperger’s hingga ke kes yang memerlukan sokongan tinggi. Ini bermakna lebih ramai individu kini termasuk dalam kategori ASD.
3. Akses kepada penilaian lebih baik
Dengan perkembangan sains perubatan, lebih banyak hospital dan klinik menawarkan perkhidmatan saringan awal kanak-kanak. Ini memudahkan proses diagnosis berbanding dulu.
4. Pengurangan stigma sosial
Dulu, ibu bapa takut anak mereka “dilabel” sebagai anak istimewa. Tapi kini, kesedaran dan penerimaan masyarakat semakin meningkat. Ramai ibu bapa tampil mendapatkan bantuan awal tanpa takut.
Punca-Punca Autism: Genetik, Biologi & Persekitaran
Walaupun penyelidikan masih dijalankan, para saintis bersetuju bahawa autism berpunca daripada gabungan faktor, bukan satu sebab tunggal.
1. Faktor genetik
- Kajian menunjukkan bahawa autism boleh diwarisi. Jika ada ahli keluarga dengan ASD, risiko untuk mempunyai autism lebih tinggi.
- Kajian juga menemui mutasi genetik tertentu (seperti gen CHD8, SHANK3) yang dikaitkan dengan ASD.
2. Faktor biologi & neurologi
- Perkembangan otak yang tidak tipikal semasa janin.
- Perubahan struktur otak dan fungsi sambungan saraf.
3. Faktor persekitaran semasa tempoh hamil
- Jangkitan virus seperti rubella atau demam campak ketika hamil.
- Pendedahan kepada pencemaran udara atau bahan kimia seperti racun perosak.
- Usia ibu atau bapa yang lebih tua semasa mengandung juga meningkatkan risiko.
Peningkatan jumlah kes autisme yang dilaporkan tidak semestinya kerana lebih ramai sekarang mengalaminya, tetapi kerana sistem pengesanan lebih baik dan kesedaran yang tinggi serta definisi diagnostik lebih inklusif
Autisme bukan satu penyakit — ia adalah satu variasi dalam perkembangan manusia. Dengan sokongan awal dan pemahaman masyarakat, ramai individu dalam spektrum autism boleh hidup berdikari dan menyumbang secara signifikan dalam masyarakat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!