Insiden Gajah Mengamuk Di Gerik, Pemandu Vios Selamat & Sempat Keluar Ikut Pintu Belakang
Syukur pemandu berjaya selamatkan diri.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang peniaga dilaporkan berdepan detik cemas apabila Toyota Vios dipandunya diserang tiga ekor gajah liar berdekatan Tasik Banding, Gerik, Perak
Menurut laporan Harian Metro, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa, Faizal Mohamad, 39, dalam perjalanan dari Kampung Guchil, Kuala Krai untuk melihat saudaranya yang meninggal dunia di Kampung Alor Janggus, Alor Setar, Kedah.
Difahamkan ketika kejadian, dia seorang diri dan melihat enam ekor gajah melintas di jalan tersebut.
"Saya memberhentikan kereta dan mematikan lampu untuk memberi laluan kepada kumpulan gajah itu melintas jalan.
"Pada masa sama, ada sebuah lori yang saya syaki dalam keadaan laju dari arah belakang dan melintas jalan.
"Keadaan itu berkemungkinan menyebabkan gajah itu terkejut sebelum tiga daripadanya mendekati kereta dan menghentak kenderaan saya sehingga kemek," katanya.
Hentakan kuat gajah di bahagian hadapan kiri dan depan menyebabkan enjin keretanya mati dan pintu rosak
Menurut Faizal lagi, dia terus berlari ke bahagian tempat duduk belakang dan keluar melalui pintu sebelah kiri selepas diserang tiga gajah itu.
"Saya hanya mampu merangkak di atas jalan kerana kedua-dua mata saya masuk kaca dan luka di lutut. Saya minta bantuan orang ramai, namun mereka juga takut untuk melalui jalan itu kerana ketika itu gajah masih ada di atas jalan.
"Pada 8.45 malam, sebuah lori yang lalu melemparkan mercun yang menyebabkan kumpulan gajah itu lari masuk hutan. Saya bersyukur kerana selamat walaupun kereta rosak," katanya lagi.
Sebaik melihat keadaan selamat, dia menghidupkan enjin kereta dan terus memandu ke Balai Polis Gerik yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi kejadian. Selepas itu, dia ke Hospital Gerik untuk mencuci mata berikutan mata dimasuki kaca.
"Saya bersyukur kerana selamat dan ini adalah kejadian pertama bertemu gajah walaupun sebelum ini selama lapan tahun saya menggunakan jalan itu untuk berulang-alik dari Perak ke Kuala Krai.
"Sejak enam bulan lalu, saya berpindah dan menetap di Kuala Krai, selepas isteri yang bekerja sebagai guru dapat bertukar tempat kerja ke kampung," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!