seismik

15 Orang Calon Muda Berusia Bawah 35 Tahun Yang Merebut Kerusi Parlimen Dalam PRU14

Mereka mempunyai potensi untuk menjadi pentadbir negara yang seterusnya.

Cover image via Malaysian Update | Q-E3 | Shahril Hamdan

Pada tanggal 9 Mei, Malaysia akan menyaksikan sebuah acara bersejarah iaitu Pilihan Raya Umum ke-14

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan di seluruh negara, kecuali Sarawak yang tidak akan mengadakan pilihan raya negeri sejak ia diadakan pada 2016.

Setelah berkempen selama 11 hari, rakyat Malaysia akan menunaikan kewajipan sebagai pengundi dan juga menentukan hala tuju negara selepas ini.

Image via Watan Online

Terdapat banyak wajah baru yang diperkenalkan sebagai calon Parlimen kali ini, kebanyakan di antara mereka mejadi calon buat julung kalinya.

Berikut adalah senarai beberapa calon Parlimen termuda untuk #PRU14:

1. Muhammad Aminur Shafiq Mohammad Abduh (PAS), 28 — Kerusi Parlimen P009 Alor Setar

Memimpin senarai calon untuk parti PAS ialah Muhammad Aminur Shafiq Mohammad Abduh, 28, yang akan bertanding di Alor Star.

Menurut laporan theSun, Muhammad Aminur merupakan calon termuda yang pernah dipertandingkan di negeri Kedah.

Bekas penolong penyelidik di Universiti Utara Malaysia itu mungkin akan berhadapan dengan calon dari Pakatan Harapan (PH) dan calon Barisan Nasional (BN).

2. Fikhran Hamshi Mohd Fatmi (BN-UMNO), 32 — Kerusi Parlimen P021 Kota Bharu

Image via Fikhran Hamshi

Fikhran Hamshi Mohd Fatmi merupakan Timbalan Ketua Pemuda BN Kota Bharu yang dilahirkan dan dibesarkan di situ.

Bekas jurubank itu menjadi ahli perniagaan menggantikan ayahnya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, yang kalah dalam pilihan raya lepas kepada Datuk Takiyuddin Hassan dari PAS.

3. Ho Kwok Xheng (BN-MCA), 30 — P106 Kerusi Parlimen Damansara (sebelumnya dikenali sebagai Petaling Jaya Utara)

Menurut Ho Kwok Xheng, seperti yang dilaporkan oleh The Star Online, dia berminat dengan politik sejak berada di universiti tetapi hanya menyertai MCA awal tahun lepas.

"Saya dilahirkan dan dibesarkan di sini, saya pergi ke sekolah di sini, semua kawan saya ada di sini, ini rumah saya," kata peguam itu dalam satu laporan oleh Free Malaysia Today.

4. Shahril Sufian Hamdan (BN-UMNO), 32 — P112 Kerusi Parlimen Kuala Langat

Shahril Hamdan merupakan ahli majlis eksekutif Pemuda UMNO dan beliau juga mengetuai Biro Profesional Muda.

Sebelum mengambil alih jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif di syarikat minyak dan gas, Shahril bekerja sebagai pegawai polisi kepada Khairy Jamaluddin dan merupakan perunding strategi dan pengurusan di McKinsey & Company.

5. Chan Quin Er (BN-MCA), 31 — P122 Kerusi Parlimen Seputeh

Image via NSTP

Dilahirkan dan dibesarkan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, Chan Quin Er merupakan seorang peguam.

Penolong Setiausaha MCA Seputeh ini telah lama berkecimpung dalam senario politik, beliau telah menyertai parti tersebut sejak berusia 20 tahun lagi.

6. Mahfuz Roslan (PAS), 34 — P132 Kerusi Parlimen Port Dickson (dahulunya dikenali sebagai Telok Kemang)

Mahfuz Roslan ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan.

Menurut Berita PAS, Mahfuz Roslan tidak asing lagi dengan masyarakat di Port Dickson, terutamanya di daerah Chuah dan Bukit Pelanduk. Beliau juga dikenali atas sumbangannya sebagai pengasas Pondok Moden Darul Solah di Port Dickson.

7. Eric Choo Wei Sern (BN-MCA), 30 — P138 Kerusi Parlimen Kota Melaka

The Star Online melaporkan bahawa Eric Choo, merupakan salah seorang pengasas Kelab MCA United Kingdom. Beliau sangat aktif di kawasan Parlimen tersebut selama lebih daripada setahun.

"Dia sering dilihat dalam acara keagamaan dan disukai oleh penduduk kampung kerana sangat sopan dan ramah," kata laporan itu.

8. Ahmad Nawfal Mahfodz (PAS), 34 — P143 Kerusi Parlimen Pagoh

Image via NSTP

Ahmad Nawfal adalah anak kepada ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

New Straits Times melaporkan bahawa beliau merupakan lulusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM) dan telah banyak membantu bapanya yang sebelum ini telah bertanding di kerusi yang sama.

9. Yeo Bee Yin (PKR-DAP), 35 — P145 Kerusi Parlimen Bakri

Dibesarkan di Segamat, Johor, Yeo Bee Yin mengambil kerusi Bakri untuk menggantikan Er Teck Hwa yang kini di kerusi Parlimen Johor.

Jurutera kimia ini merupakan bekas ADUN Damansara Utama, yang memenangi majoriti terbesar 30,689 undi untuk kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

10. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PKR), 26 — P146 Kerusi Parlimen Muar

Syed Saddiq merupakan salah seorang anggota pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Beliau dilahirkan di Johor dan sangat terkenal dengan kehebatan berdebat yang menjadikannya pemenang Speaker Terbaik Asia dalam Asian British Parliamentary (ABP) Debating Championship sebanyak tiga kali.

Ketua Pemuda PPBM yang menolak tawaran untuk belajar di Oxford University kerana mahu terus aktif dalam politik itu adalah calon Parlimen termuda dalam PRU14.

11. Chrisnadia Sinam (PKR), 35 — P170 Kerusi Parlimen Tuaran

Chrisnadia Sinam adalah salah seorang daripada dua calon muda yang dipertaruhkan oleh PKR Sabah.

Utusan Borneo melaporkan bahawa Chrisnadia merupakan bekas jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR).

12. Ceasar Mandela Malakun (BN-UPKO), 28 — P174 Kerusi parlimen Penampang

Image via says.com

Ceasar mendapat antara pangkat tertinggi dalam Pertubuhan Persatuan Pasokmomogun Kadazandusun Murut (UPKO) apabila beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa UPKO Penampang dalam masa kurang dari dua tahun selepas menyertai sebagai anggota biasa.

Difahamkan sebelum menyertai parti itu dan menjadi usahawan, Ceasar, yang merupakan anak kepada ahli politik Kadazandusun dan ahli perniagaan Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun, merupakan seorang peguam.

13. Raymond Ahuar (PKR), 33 — P182 Kerusi Parlimen Pensiangan

Image via Titus Pengeran

Raymond Ahuar merupakan seorang lagi calon muda yang dipertandingkan oleh PKR Sabah.

Ketua Pemuda PKR Sabah itu bertanding untuk kerusi DUN Nabawan pada pilihan raya lepas, tetapi kalah kepada penyandang BN, Datuk Bobbey Ahfang Suan dengan 343 undi.

14. Mordi Bimol (PKR-DAP), 33 — P192 Kerusi Parlimen Mas Gading

Mordi Bimol dilantik sebagai calon DAP di Tasik Biru semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016.

Beliau tewas kepada Henry Jinep dari Barisan Nasional, yang memenangi 6,992 undi dengan majoriti 1,288 undi.

15. Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PKR-DAP), 31 — P195 Kerusi Parlimen Kuching

Dr Kelvin Yii, yang merupakan doktor perubatan, sebelum ini adalah pembantu kepada bekas anggota Parlimen, MP Stampin Julian Tan dan pembantu khas bekas MP Kuching Bandar, Chong Chieng Jen.

Dalam temu bual bersama The Malaysian Insight, Kelvin mendedahkan bahawa beliau memutuskan untuk memasuki politik pada 2013, lapan tahun selepas melakukan kerja-kerja kemanusiaan, dengan hasratnya untuk mengubah sistem yang telah rosak dan tidak boleh dilakukan melalui perbuatan baik sahaja.

Ingin tahu keputusan terkini #PRU14? Ikuti laman ge14.says.com dan dapatkan keputusan secara langsung bagi semua kerusi secara pantas dan tepat!

Image via SAYS

Lagi berita menarik untuk #PRU14:

You may be interested in: