HFMD Melonjak Sehingga 266 peratus, Selangor Catat Rekod Paling Tinggi Dengan 27,118 Kes
KKM mengesahkan tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan setakat ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara terus menyaksikan peningkatan sehingga 266 peratus
Dengan 99,601 kes dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 2025 (ME 17/2025) berbanding 27,236 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menerusi laporan Berita Harian, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, daripada jumlah itu 10,421 kes (10 peratus) adalah berkaitan wabak, manakala 89,180 kes (90 peratus) berlaku secara sporadik.
Walau bagaimanapun, mereka mengesahkan tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan setakat ini.
Negeri Selangor catat kes paling tinggi setakat ini
Sementara itu, KKM memberitahu lima negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi adalah Selangor dengan 27,118 kes (27.2 peratus), diikuti Johor dengan 9,864 kes (9.9 peratus), Perak dengan 9,347 kes (9.4 peratus), Kelantan dengan 7,147 kes (7.2 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,850 kes (6.9 peratus).
"Secara kumulatif, terdapat 2,649 wabak berbanding 1,339 wabak bagi tempoh sama pada 2024, iaitu peningkatan 49 peratus.
"Daripada keseluruhan wabak ini, sebanyak 578 berlaku di taska (22 peratus), 480 di tadika (18 peratus), 292 di tabika (11 peratus), dan 251 di pra-sekolah (9 peratus)," katanya.
Menurut KKM, 38,285 premis diperiksa di seluruh negara membabitkan taska, tadika, tabika, pra-sekolah dan rumah kediaman.
Daripada jumlah itu, sejumlah 1,140 (tiga peratus) premis diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], manakala 430 (satu peratus) premis lagi ditutup secara sukarela.
"Selain itu, sebanyak 220 sesi 'townhall' dan taklimat dilaksanakan di seluruh negara oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk memberi pendidikan kesihatan bagi membendung penularan HFMD.
"Selaras hasrat dan inisiatif Kerajaan MADANI melalui 'Kesejahteraan', KKM akan sentiasa memberikan maklumat berinformasi sebagai antara mekanisme perkongsian supaya rakyat terus bersama dalam mencegah dan membendung sebarang situasi wabak bukan sahaja HFMD.
"Pada masa sama, perkongsian maklumat ini perlu disebarluaskan sebagai memenuhi 'Ihsan' sesama masyarakat tidak mengira apa jua latar belakang pendidikan mahu pun sosioekonomi," katanya.
Ibu bapa juga dinasihatkan agar mengamalkan langkah pencegahan, seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas serta memastikan permainan, bilik air dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air atau cecair disinfeksi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!