[VIDEO] Gadis Air Mineral Yang Menghantui Kunjungan Stesen Minyak Anda Dah Munculkan Diri
Nor Shafila namanya.
Sebelum ini, ramai yang terperanjat dengan kehadiran 'Gadis Air Mineral' di setiap stesen minyak Shell di seluruh Malaysia
Sampai ada yang mohon pihak Shell untuk turunkan papan iklan tersebut sebab selalu sangat terperanjat.
Mana taknya, bayangkan anda sedang berseorangan di stesen minyak pada waktu malam. Dalam keadaan yang sunyi, anda pun turun daripada kereta untuk isi minyak. Tiba-tiba muncul satu susuk tubuh wanita entah dari mana sedang memegang botol air mineral sambil tersenyum lebar kepada anda.
Mahu tak terkejut! Silap haribulan boleh pengsan agaknya.
Kemudian pada Disember 2016, permintaan tersebut bagai menjadi kenyataan
Pihak Shell membuat keputusan untuk turunkan kesemua papan iklan berkenaan dan menggantikannya dengan yang baru beserta tulisan, "Maaf kalau terkejut... - Gadis Air Mineral."
Fenomena 'Gadis Air Mineral' ini sekali lagi menjadi hangat. Masing-masing memberi pendapat bahawa gadis ini telah merajuk dan tidak mahu lagi mengganggu ketenteraman orang ramai di stesen minyak.
Namun begitu, ada juga yang merindui kehadirannya, malah berasa suasana di stesen minyak menjadi kurang ceria tanpa beliau.
Lima bulan selepas itu, 'Gadis Air Mineral' kembali, tetapi tanpa botol mineral di tangan. Tapi apa yang penting, kehadirannya tetap buat orang ramai terkejut.
Sekali lagi, orang ramai dikejutkan dengan kehadiran 'Gadis Air Mineral' dan kali ini, imejnya lebih besar dan lebih nyata. Sekali pandang ingatkan orang betul, rupanya hanya sekeping papan iklan.
Nampaknya, 'Gadis Air Mineral' buat hal lagi.
Antara reaksi orang ramai:
Nor Faezah Talib
"Gadis air mineral dah takde. Shell dah gantikan dengan awek dynaflex. Tapi still, duduk celah tu pun awak buat saya terkejut tau."
Khaja Muhamed Ukhas
"Haritu cakap 'Maaf kalau terkejut'. Ni awak buat lagi. Haihhh."
Ustaz Taufik Mujahid
"Sebelum ni aku terperanjat dengan Gadis nak kasi Air Mineral kat tepi pam minyak Shell. Petang ni sekali lagi aku terperanjat ada gadis sergah aku. Nasib baik tak terlepas Nozel minyak dari tangan."
Jadi siapa sebenarnya 'Gadis Air Mineral' ni? Beliau adalah Nor Shafila.
Nor Shafila atau Ila berkata ramai orang menyapanya dengan panggilan 'kak mineral water' apabila bertemu dengannya di stesen minyak.
Menurut Ila, beliau peka bahawa ramai orang yang terkejut dengan "kehadirannya" di stesen minyak Shell, terutamanya pada waktu malam. Perkara ini membuat dirinya rasa serba salah, malah setiap kali ada orang add atau hantar inbox kepada beliau di Facebook, perkara pertama yang beliau akan cakap ialah "Minta maaf kalau terkejut."
Sejak kematian ayahnya 6 tahun lepas, Nor Shafila tidak ada pilihan selain bekerja di stesen minyak Shell cawangan Tronoh bagi membantu ibunya
Sebagai anak sulung daripada 5 beradik, Shafila perlu bekerja untuk menyara ahli keluarganya dan tidak boleh hanya bergantung kepada kudrat tenaga ibunya sahaja.
Beliau sekarang menyandang jawatan supervisor di Shell Tronoh dan bercita-cita untuk memiliki sebuah stesen minyak Shell sendiri pada masa depan.