seismik

Dulu Gaji RM250 Sebulan, Sekarang Jadi Antara 50 Individu Terkaya Di Malaysia

Beliau merupakan pengasas Causeway Link, bas kuning ikonik yang mengangkut ribuan penumpang melintasi sempadan Johor-Singapura.

Cover image via Warga Biz & The Straits Times

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Bermula dengan kerja yang hanya membayar gaji RM250 bulanan, kini Lim Han Weng tersenarai dalam kalangan 50 individu terkaya di Malaysia

Menerusi laporan The Straits Times, ketika itu Lim hanyalah seorang anak muda dari Kedah yang cuba mendapatkan pekerjaan dengan hanya menggunakan sijil sekolah menengah, sedar bahawa keputusan akademiknya tidak mencukupi untuk melanjutkan pengajian di universiti.

Jadi, pilihan terbaik adalah mendapatkan pekerjaan, tidak kira apa jua jenis pekerjaan itu. Lim memohon pelbagai tawaran kerja yang diiklankan, termasuk menjadi steward di sebuah syarikat penerbangan namun yang diterimanya hanyalah surat penolakan kerja yang berterusan.

Pada hari ini, di usia 73 tahun, Lim adalah pengasas Causeway Link, bas kuning ikonik yang mengangkut ribuan penumpang melintasi sempadan Johor-Singapura. Namun, kejayaannya tidak datang dengan mudah.

Peluang pertama Lim hadir apabila beliau mendapat pekerjaan di Wearne Brothers dengan gaji sebanyak RM250 sebulan sebagai jurujual kereta. Syarikat tersebut beroperasi di Singapura dan kemudiannya berkembang ke Tanah Melayu, dengan pengedaran pelbagai kereta berjenama mewah.

Lim perlu mempromosikan model-model mewah kepada pembeli di bandar-bandar kecil yang kebanyakannya lebih gemar memilih kereta buatan Jepun. Sasaran jualannya, dua buah kereta sebulan.

Menurut Lim, usaha untuk mencapai sasaran tersebut telah mengajarnya tentang disiplin, ketekunan, dan yang paling penting, seni menjual.

Permulaan kerjaya apabila menyertai syarikat Lori Malaysia

Beliau kemudiannya menyertai Lori Malaysia, sebuah syarikat logistik yang menghantarnya ke seluruh negara sebelum ditugaskan ke cawangan Johor, satu titik perubahan dalam hidupnya.

"Seorang pemandu pernah memberitahu saya, Johor adalah tempat di mana wang boleh dijana, memandangkan kedudukannya yang hampir dengan Singapura, dan ternyata dia betul. Saya kekal di sini," katanya.

Menjelang tahun 1984, beliau bersama isterinya, Bah Kim Lian, menubuhkan Yinson Transport, sebuah perniagaan trak kecil yang mengangkut barangan merentasi sempadan.

Usaha tersebut kemudiannya berkembang menjadi Yinson Holdings, sebuah syarikat gergasi logistik tenaga global dan pemain utama dalam bekalan gas dan offshore. Pada tahun 1996, Yinson telah disenaraikan di Bursa Malaysia, namun Lim tidak berhenti di situ. Beliau terus menceburi bidang tenaga boleh diperbaharui, sokongan marin, dan seterusnya pengecasan kenderaan elektrik.

Di Singapura, beliau menubuhkan Liannex Corporation pada tahun 1993, dan mengembangkan perniagaannya ke dalam logistik marin, operasi pelabuhan, serta bekalan pembinaan. Awal tahun ini, Liannex telah mengambil alih Icon Offshore dan menjenamakannya semula sebagai Lianson Fleet Group. Menjelang 2 Jun, nilai pasaran syarikat itu telah melonjak melebihi RM670 juta.

Causeway Link dilancarkan menjadi legasi anak Malaysia

Namun, apa yang benar-benar mengukuhkan legasi Lim di hati rakyat Malaysia adalah pelancaran Causeway Link pada tahun 2003.

Menyedari keperluan dalam kalangan pengembara rentas sempadan, Lim buat keputusan untuk membangunkan perkhidmatan berkenaan.

"Terlalu banyak rintangan, permit, kewangan, tenaga kerja. Tetapi kami tetap mara," katanya seperti yang dipetik oleh akhbar The Straits Times Singapura.

Syarikat tersebut telah disenaraikan tahun ini sebagai HI Mobility, dengan rancangan pengembangan ke arah sistem pengangkutan pintar.

Walaupun mempunyai nilai kekayaan yang dianggarkan berjumlah AS$480 juta (RM2.3 bilion), Lim masih terlibat secara langsung dalam operasi, malah menjawab mesej WhatsApp daripada penumpang yang marah atau daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Lim Han Weng ketika muda bergambar di hadapan bas-basnya selepas memperoleh lesen pada 2003 untuk menjalankan perkihdmatan bas rentas sempadan di bawah jenama Causeway Link.

Image via The Straits Times

Anak-anak menjadi penyambung legasi bapa

Anaknya, Lim Chern Chuen, yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, berkata "Sukar untuk beliau bersara. Perbualan makan malam kami kebanyakannya berkisar tentang kerja. Bagi beliau, perniagaan itu juga adalah kebahagiaan."

Anak-anak Lim, Chern Yuan (Yinson), Chern Wooi (Lianson), dan Chern Fang bersama Chern Chuen (HI Mobility) kini menguruskan portfolio syarikat-syarikat tersebut milik keluarganya.

Lim membesarkan mereka secara berdikari, menghantar mereka ke Australia sebelum usia 10 tahun. "Tiada pembantu, tiada dimanjakan. Biar mereka belajar bertahan. Kalau ibu bapa asyik menyuap, mereka takkan belajar berdikari."

Beliau masih terlibat dalam urusan perniagaan, khususnya di Indonesia. "Anak-anak saya tak fasih bahasa itu, jadi saya yang uruskan. Kalau bersara, otak akan berkarat," ujarnya.

Sebagai seorang yang amat percaya pada keusahawanan, Lim sering menggalakkan orang lain untuk mencuba nasib. "Ada pegawai bank yang pernah saya berurusan kini jadi usahawan. Saya beritahu mereka, ambillah risiko."

Lim Han Weng (kiri) bersama anaknya Lim Chern Chuen, ketua eksekutif HI Mobility sekarang.

Image via The Straits Times

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: