seismik

Apa Hukum Berkongsi Satu Bahagian Untuk Korban? Ini Pencerahannya

Ibadah korban mesti dilakukan dengan menurut ilmu dan kefahaman.

Cover image via MAIS & Kosmo (Gambar sekadar hiasan)

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Apabila tibanya musim Aidiladha, pasti ramai yang sering bertanyakan antara beberapa soalan berkaitan ibadah korban

Antara persoalan yang paling ramai bertanyakan sudah tentunya apakah hukum berkongsi bahagian korban ini. Boleh atau tidak sebenarnya?

Malah, adakah sah di sisi syarak sekiranya satu bahagian korban diniatkan untuk beberapa individu seperti bapa, ibu, isteri dan anak-anak serentak?

Kami akan merungkaikan isu tersebut yang telah dikongsikan oleh seorang ustaz menerusi laporan dalam Harian Metro bagi menjawab persoalan ini.

Gambar sekadar hiasan.

Image via Kosmo

Untuk pembahagian korban, hanya satu bahagian, satu nama

Hukum asalnya, satu bahagian korban hanya sah untuk satu nama sahaja. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA:

"Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram haji. Lalu Baginda menyuruh kami berkongsi dalam menyembelih korban unta dan lembu, tujuh bahagian korban dibahagi tujuh orang." (Riwayat Muslim)

Hadis ini menjadi dalil bahawa seekor lembu atau unta hanya boleh dikongsi oleh tujuh orang dan satu bahagian hanya mewakili satu individu.

Ini bermakna, jika seseorang membeli satu bahagian (1/7) daripada lembu, maka hanya seorang sahaja yang sah sebagai peserta korban dari sudut syarak, bukan beberapa nama dalam satu bahagian.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna seseorang itu tidak boleh menghadiahkan pahala korban kepada orang lain. Para ulama membenarkan seseorang itu menyembelih korban bagi dirinya dan meniatkan agar pahala korban itu dikongsi bersama ahli keluarganya, seperti isteri dan anak-anaknya.

Korban yang diniatkan untuk diri dan keluarga

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW menyembelih dua ekor kibas. Baginda menyebut ketika menyembelih:

"Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan daripada umat Muhammad."(Riwayat Muslim)

Hadis ini menjadi dalil bahawa dibenarkan bagi seseorang menyembelih seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya. Ini kerana ahli keluarga dianggap sebagai saling tolong menolong dalam melaksanakan ibadah korban tersebut. Namun, untuk dikongsikan pahala ini perlulah berniat supaya terhasil pahala itu juga untuk orang-orang yang diniatkan.

Gambar sekadar hiasan.

Image via Bernama

Pandangan ulama mazhab

Imam al-Nawawi, seorang tokoh besar dalam mazhab Syafi'i, menjelaskan dalam syarahnya ke atas hadis ini:

"Hadis inilah yang dijadikan dalil oleh mereka yang membenarkan seseorang lelaki berkorban bagi dirinya dan bagi ahli keluarganya serta berkongsi pahala bersama mereka. Inilah mazhab kami (Syafi'iyyah) dan juga mazhab jumhur (majoriti ulama)."

Beliau turut menyebut bahawa ada sebahagian ulama seperti al-Thauri dan Abu Hanifah yang memakruhkan amalan ini, sementara Imam al-Tahawi pula mendakwa bahawa hadis tersebut telah dimansuhkan. Namun pandangan ini dibantah oleh para ulama kerana dakwaan mansuh (pembatalan) dan takhsis (pengkhususan) tidak boleh diterima hanya berdasarkan sangkaan.

Manakala, dalam mazhab Syafi'i, ia dibenarkan untuk menyembelih seekor haiwan korban dan menghadiahkan pahalanya kepada keluarga, selama mana penyembelihan itu dilakukan atas nama satu individu. Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitab al-Iqna' menyebut:

"Maka jika dia menyembelihnya untuk dirinya dan untuk ahli keluarganya, atau untuk dirinya dan dia berkongsi dengan orang lain dalam pahalanya, maka dibenarkan."(Al-Iqna', 2/589).

Kesalahan yang paling ramai buat iaitu satu bahagian diniatkan untuk banyak nama

Tidak dinafikan, ramai orang salah faham mengenai bahagian korban. Amalan yang sering berlaku ialah apabila seseorang membeli satu bahagian lembu, kemudian dinamakan untuk dirinya, arwah ibu bapa, isterinya, dan anak-anaknya serentak.

Ini adalah tidak sah kerana satu bahagian hanya boleh mewakili satu individu sebagai peserta korban. Kes yang sama juga berlaku apabila ada wakil rakyat menghadiahkan lembu kepada masjid, lalu dinamakan untuk seluruh ahli kariah masjid.

Sekiranya seseorang ingin berkorban untuk beberapa individu, maka perlu disediakan satu bahagian khusus untuk setiap individu tersebut. Sebagai contoh, jika ingin berkorban untuk dirinya, arwah ayah dan arwah ibu secara berasingan, maka perlulah membeli tiga bahagian (3/7) daripada lembu.

Namun, jika seseorang itu menyembelih seekor kambing atau satu bahagian korban atas namanya sendiri dan menghadiahkan pahalanya kepada seluruh keluarganya, maka itu dibenarkan menurut mazhab Syafi'i. Caranya ialah dia membeli dan berkorban atas namanya seorang, tetapi diniatkan pahalanya untuk seluruh ahli keluarganya

Gambar sekadar hiasan.

Image via Medan PKS

Perkara yang perlu diambil tahu dalam ibadah korban

  1. Pastikan anda menetapkan niat dengan jelas. Semak bahawa setiap bahagian korban mempunyai seorang peserta yang jelas. Jika ingin menyertakan nama lain, niatkan sebagai hadiah pahala, bukan peserta korban.
  2. Jika anda tidak pasti mengenainya sila rujuk kepada pihak berautoriti. Umat Islam digalakkan untuk bertanya kepada pejabat agama atau ulama yang ahli dalam fiqh ibadah sebelum membuat keputusan.
  3. Elakkan daripada khilaf. Sekiranya berlaku keraguan, lebih baik mengambil jalan ihtiyat (berhati-hati) agar ibadah korban tidak sia-sia.
  4. Utamakan keikhlasan dalam ibadah korban. Matlamat korban adalah mendekatkan diri kepada Allah, bukan semata-mata agihan daging. Maka pastikan ia dilakukan dengan penuh ikhlas dan mengikut sunnah.

Semoga ibadah korban yang kita lakukan tahun ini akan diterima oleh Allah dan menjadi saham akhirat nanti :)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: