Air Zamzam Tak Boleh Dipos, Dibawa Dengan Tangan Naik Pesawat - Pengurus Khidmat Luar TH
Difahamkan, air zamzam merupakan barang kawalan dan hadiah daripada kerajaan Arab Saudi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Air zamzam tidak dibenarkan untuk dibawa pulang menaiki pesawat oleh para Jemaah haji Malaysia
Menerusi laporan Sinar Harian, Pengurus Khidmat Luar Lembaga Tabung Haji (TH), Mohamad Zamry Mohd Noor memaklumkan bahawa air zamzam juga tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia menggunakan perkhidmatan pos.
"Tidak boleh. Ini kerana air zamzam memang disediakan oleh pihak Tabung Haji dan hanya akan diagihkan sewaktu jemaah haji tiba di tanah air.
"Sebaik sahaja jemaah mendarat, mereka akan menerima lima liter air zamzam seorang. Penghantaran melalui pos juga tidak dibenarkan kerana air zamzam adalah barang kawalan, ia tidak boleh dijual beli atau diniagakan," katanya.
Air zamzam adalah hadiah daripada kerajaan Arab Saudi kepada jemaah haji Malaysia dan diagihkan secara percuma
Tambah Mohamad Zamry, disebabkan air zamzam adalah hadiah pemberian kerajaan Arab Saudi, peraturan telah ditetapkan dalam pembawaan pulang air zamzam.
"Larangan membawa pulang air zamzam adalah peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi, dan kita perlu mematuhinya.
"Tahun lalu, terdapat jemaah yang cuba menghantar air zamzam dengan memasukkannya ke dalam botol kecil dan meletakkannya dalam kotak untuk dipos.
"Namun, barangan itu dikesan di lapangan terbang, dikeluarkan dan tidak sampai ke Malaysia. Saya nasihatkan jemaah haji supaya tidak melanggar peraturan ini," tegasnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!