Adik Buat Laporan Polis Dakwa Anak Jiran Kencing Atas Badan Abangnya Yang OKU
Difahamkan, abangnya didiagnosis menghidap skizofrenia sejak berusia enam tahun.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita nekad membuat laporan polis apabila mendakwa abang sulungnya yang menghidap skizofrenia diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan oleh anak jirannya sendiri
Menerusi laporan Sinar Harian, kejadian berlaku di di Kubur Panjang, Pendang, Kedah selepas selepas dia mendakwa abangnya yang dikenali sebagai Bang Pit, sering menjadi mangsa gangguan.
Ia termasuk insiden terbaharu apabila beberapa anak jiran didakwa kencing ke atas badan lelaki orang kurang upaya (OKU) itu.
Wanita itu juga berharap agar masyarakat lebih peka dan menghormati individu yang menghidap penyakit mental serta keluarga yang menjaga mereka.
“Kami sudah sedaya upaya menjaga kebajikan abang, tetapi sangat sedih dan marah apabila jiran tidak menegur atau menghalang anak mereka daripada menceroboh ke dalam kawasan rumah kami serta mengganggu abang secara fizikal dan emosi.
“Lebih mengecewakan, pelakunya ialah kanak-kanak bawah umur yang berkelakuan biadab di hadapan ibu bapa mereka sendiri, seolah-olah dibiarkan tanpa sebarang teguran,” katanya.
Abang sering diganggu walaupun pagar sudah dikunci, dakwa pernah dibaling batu
Nor Zaihan menerusi hantaran di Facebook, dia berkongsi bahawa abangnya didiagnosis menghidap skizofrenia sejak berusia enam tahun lagi.
Oleh kerana itu dia dan keluarganya berusaha menjaganya sebaik mungkin selama lebih 40 tahun.
Tambahnya, keluarga mereka menjaga Bang Pit dengan baik dan sentiasa memastikan pagar berkunci dan tingkap bilik dipateri dengan besi demi keselamatan abangnya itu.
Namun, anak jiran mentertawakan penyakit abangnya dan menjadikannya bahan ejekan.
"Pernah juga abang mengadu dibaling batu, tapi kami tiada bukti. Baru-baru ini, saya sendiri nampak mereka baling mercun bola ke arah abang yang sedang duduk di garaj,” katanya.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan kelakuan kanak-kanak itu membakar baju yang disidai di pagar dan memanjat masuk ke kawasan rumah walaupun pagar telah dikunci.
"Kejadian terbaru apabila ibu saya melihat sendiri mereka kencing ke atas badan abang, saya anggap sudah melampau, dan sebab itu saya nekad buat laporan di Balai Polis Kubur Panjang pada 3 April lalu,” jelasnya.
Dia berharap agar ibu bapa terbabit dapat mengambil tanggungjawab memantau dan mendisiplinkan anak-anak mereka sebelum insiden lebih serius berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!