seismik

8 Perkara Penting Dijelaskan PM Najib Tun Razak Di Soal Jawab TV3 Edisi Khas

"Saya tetap hormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya hormati rakyat Malaysia. Saya terbuka sekiranya mana-mana pihak yang mengkritik kepimpinan saya, pentadbiran saya." - Datuk Seri Najib Tun Razak.

Cover image via imgur.com

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab pelbagai soalan mengenai beberapa isu yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad

Temubual bersama hos, Hamdan Ahmir di rancangan Soal Jawab TV3 Edisi Khas itu disiarkan pada pukul 10 malam semalam.

Antara soalan yang ditujukan meliputi isu pengurusan 1MDB, pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kes pembunuhan Altantuya, Akta Hasutan, POTA (Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan) dan prospek ekonomi negara.

astroawani.com
Image via SAYS.com

1. Isu perlaksanaan GST yang dikatakan membebankan rakyat

"Sebenarnya, tiada masa yang dikatakan sesuai untuk memperkenalkan GST. Kalau kita lihat pada keseluruhannya, antara faktor yang boleh dikatakan menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST ialah harga minyak dah jatuh."

"GST merupakan penggantian kepada cukai perkhidmatan dan jualan (SST). Selain daripada itu, kita tambah BR1M, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan kita bagi pengurangan cukai peribadi antara satu hingga tiga peratus."

"Pakej keseluruhan GST tidak membebankan rakyat. Kita sudah kaji selidik sejak sekian lama. Malah lebih 4,000 di pasaran barang bersifat 'zero-rated."

"Kalau ada pihak yang tidak sepatutnya kenakan GST, tolong laporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Koperasi dan Kepenggunaan). Di sini letaknya kuasa pengguna. Kita mesti tahu kita ada kuasa."

2. Isu BR1M yang dianggap sebagai 'handout' yang tidak berkesan

"BR1M bukan 'handout'. Sebenarkan, BR1M merupakan 'social safety net' yang telah dicadangkan Jawatankuasa Fiskal, bukan saya sendiri."

"Jawatankuasa Fiskal terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuk Bank Negara, EPU (Unit Perancang Ekonomi), Kementerian Kewangan dan sebagainya.

"Soal 'social safety net' diamalkan bukan saja di Malaysia, tetapi banyak negara lain mengamalkan sistem 'social safety net' dalam pelbagai kaedah."

3. Isu penglibatan Datuk Seri Najib dengan Altantuya Shaariibuu

"Sebenarnya saya dah lafazkan sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi, tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008 bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung."

"Dan pihak polis telah jalankan siasatan. Ketua Polis Negara dah buat kenyataan bahawa saya tak terlibat."

"Tak ada bukti sama sekali yang timbul bahawa saya kenal Altantuya. Tak ada langsung. Tak ada gambar, tak ada tulisan, tak ada saksi dan sebagainya. Mahkamah telah tentukan prosesnya sampai ke Mahkamah Persekutuan."

Image via SAYS.com

4. Isu penyelewengan wang 1MDB

"1MDB merupakan 'investment company' yang dimulakan dengan modal RM1 juta sahaja. Bila 1MDB nak kembangkan perniagaan, ia terpaksa meminjam tetapi aset-aset yang telah pun diperolehi oleh 1MDB melebihi liabiliti."

"Beri lebih masa untuk 1MDB cairkan aset untuk jelaskan hutangnya. Kita sekarang dalam langkah 'rationalization' untuk 1MDB dan kini dalam perlaksanaan."

"Saya telah memberi cadangan dalam Kabinet supaya Ketua Audit Negara menyemak laporan 1MDB dan mengesahkan sama ada ada dana 1MDB digunakan untuk buat filem di Hollywood. Saya beri jaminan jika ada isu salah guna kuasa dalam 1MDB, kita tak akan pertahankan sesiapa. Saya tak boleh terima kalau ada salah guna kuasa dalam 1MDB. Contohnya kalau ada pengeluaran tunai secara tersembunyi."

5. Isu perlaksanaan Akta Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA)

"Saya sedar dalam negara kita ini negara yang berbilang kaum dan berbilang agama kita mesti ada undang-undang yang menyekat dan membanteras sesiapa yang boleh membuat dakwaan, kenyataan dan apa-apa berita dalam majalah, tulisan dan sebagainya yang boleh menghasut rakyat, membenci rakyat, sehinggakan timbul rusuhan."

"Akta baru ini diperkenalkan supaya kita boleh bertindak dengan kekuasaan baru. Tetapi ia dikhususkan kepada soal keganasan."

"Ia tidak boleh disamakan dengan ISA sebab kuasa menahan ini kuasa badan khas yang terdiri daripada mungkin hakim atau bekas hakim, orang yang ada kredibiliti. Bukan kuasa yang diberikan kepada badan eksekutif."

Image via SAYS.com

6. Isu kritikan Tun Dr. Mahathir terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib dan UMNO

"Saya harap kritikan dibuat oleh Tun Dr. Mahathir itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu tetapi saya perlu tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO, dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan kepada parti."

"Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti."

"Setakat ini, sokongannya sangat baik. Banyak pihak telah membuat kenyataan secara terbuka dari kalangan anggota Kabinet, parti-parti komponen, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Yang Berhormat dan sebagainya."

"Jadi saya melihat parti ada bersama-sama saya, di belakang saya untuk terus memimpin parti dan negara."

"Kekuatan kita hanya akan menjadi suatu kejayaan kalau kita padu dalam parti. Kalau kita padu dan tidak bercanggah sesama kita, tiada unsur-unsur sabotaj dan sebagainya, saya yakin kita boleh menang dalam PRU ke-14 yang akan datang."

7. Isu ekonomi dan Wawasan 2020

"Langkah ke hadapan, kita telah jelaskan dan paparkan kepada rakyat. Sampai kepada tahun 2020 ini kita nak Malaysia menjelma sebagai negara maju."

"Saya akan melihat pada Rancangan Malaysia ke-11, apa yang boleh kita masukkan sebagai program-program tambahan, misalnya latihan kemahiran, latihan teknikal dan keusahawanan. Ini kita mesti beri tumpuan sebab boleh beri perubahan besar kepada pendapatan rakyat."

"Saya yakin kalau kadar pertumbuhan dapat kita pastikan dalam lingkungan lima peratus setahun. kita akan dimartabatkan sebuah negara maju menjelang 2020."

8. Datuk Seri Najib bersikap terbuka menghadapi kritikan orang ramai

"Saya merasakan bahawa apa yang patut saya lakukan adalah teruskan sikap terbuka saya."

"Setiap kritikan itu saya pertimbangkan dan saya lihat kalau ada apa-apa kekurangan dalam pentadbiran saya. Saya tak pernah kata bahawa saya tak buat kesilapan. Saya akui bahawa setiap manusia itu bukanlah sempurna. Tetapi kalaulah saya merasakan bahawa apa yang saya lakukan itu dapat sokongan parti dan rakyat maka saya akan teruskan dasar-dasar saya dan keputusan saya."

"Sebab pada hakikatnya, penentuan hala tuju negara ini bukanlah ditentukan oleh mana-mana individu, tapi ditentukan rakyat dan parti."

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? 'LIKE' Facebook SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Fahami apa itu 'POTA'. BACA DI SINI:

You may be interested in: