seismik

100 Hari 10 Janji Pakatan Harapan: Berapa Banyak Janji Yang Sudah Ditepati?

100 hari bererti kerajaan perlu tunaikan 10 janji tersebut dalam kurang dari 14 minggu.

Cover image via Detik Daily

Hari ini, 17 Ogos, genap menandakan 100 hari pertama Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan persekutuan selepas memenangi PRU14 tempoh hari

Image via Sarawak Voice

PH yang sebelum ini telah mengeluarkan manifesto '100 Hari 10 Janji' yang digariskan dalam Buku Harapan bersempena dengan kempen PRU14 atas tujuan ingin memulih semula dan membina negara serta memenuhi harapan rakyat, hanya berjaya menunaikan beberapa sahaja janji tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

Berikut adalah status 10 janji kerajaan PH dalam tempoh 100 hari pertama (iaitu kurang dari 14 minggu):

1. Menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)

Image via NST

Walaupun secara dasarnya GST tidak dimansuhkan, namun Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mengumumkan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dulunya berkadar 6% akan menurun kepada sifar (0%), mulai 1 Jun.

Walau bagaimanapun, untuk mengurangkan kekurangan pendapatan daripada GST, MOF kini memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sebagai sebahagian daripada inisiatif pembaharuan fiskal negara, yang akan bermula pada 1 September nanti.

Status: Tercapai.

2. Menstabilkan harga petrol dan memperkenalkan subsidi petrol

Image via Hype MY

Pada 16 Mei, Tun Mahathir mengumumkan bahawa tidak akan ada lagi turun naik harga bahan api kerana ia akan disandarkan kepada harga sekarang. Pada masa ini, satu liter RON95 ialah RM2.20, RON97 ialah RM2.47, Diesel RM2.18, dan Euro 5 Diesel ialah RM2.28.

Walau bagaimanapun, belum ada pengumuman mengenai subsidi petrol bersasar, perkembangan terbaru kerajaan sedang mengkaji mekanisme mengenai perkara itu.

Status: Sebahagian tercapai.

3. Menghapuskan hutang-hutang yang tidak wajar yang telah dikenakan ke atas peneroka FELDA

Status: Tiada perkembangan dilaporkan.

4. Memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah

Image via Utusan Borneo

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan fasa pertama skim i-Suri, yang mensasarkan 359,065 pendaftar e-Kasih wanita dan peruntukan kerajaan berjumlah RM20 juta

Fasa pertama bermula 15 Ogos ini dengan kerajaan akan menyumbang RM40 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minimum RM5 ke akaun KWSP. Pada fasa kedua yang dijangka bermula tahun hadapan, sumbangan kerajaan akan meningkat kepada RM50 dengan RM10 daripadanya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Fasa ketiga insentif SURI adalah di mana dua peratus sumbangan KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri dengan pelancaran fasa ini dijangka pada awal 2020, namun beberapa pindaan perlu dilakukan terhadap akta berkaitan.

Status: Sebahagian tercapai.

5. Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum

Image via Sinar Harian

Pada 24 Julai (Hari 76), Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata cadangan kenaikan upah minimum akan dibentangkan kepada kerajaan dalam masa terdekat. Buat masa ini bagi sektor swasta, gaji minimum bulanan ialah RM1,000 (Semenanjung Malaysia), RM920 (Sabah & Sarawak).

Walau bagaimanapun, kerajaan telah memulakan proses untuk meningkatkan gaji minimum, yang akan dijalankan secara beransur-ansur.

Status: Dalam pelaksanaan.

6. Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan senarai hitam ke atas peminjam

Image via Harian Metro

PTPTN telah menghapuskan peminjam PTPTN daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Walau bagaimanapun, usaha untuk menangguhkan bayaran balik bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 belum dapat ditunaikan kerana institusi itu sedang melakukan pembersihan pangkalan data peminjamnya.

Status: Sebahagian tercapai.


7. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja 1MDB, FELDA, MARA, dan Tabung Haji dan merombak semula struktur kepimpinan mereka

Tiada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan untuk mana-mana empat badan ini buat masa ini kerana menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan perlu menetapkan pertuduhan yang kukuh terhadap mereka yang terbabit dalam kontroversi berkaitan terlebih dahulu.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh terus menubuhkan RCI sehingga mempunyai beberapa pertuduhan kukuh terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan.

Status: Dalam pelaksanaan.

8. Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong

Image via The Malaysian Reserve

Hal-hal tentang hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta hasil minyak dan gas akan dikaji semula oleh satu Jawatankuasa Khas Kabinet Persekutuan yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Jawatankuasa Khas ini juga akan mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pembetulan dalam status Perjanjian Malaysia 1963 dalam perundangan sekarang.

Status: Dalam pelaksanaan.

9. Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40

Status: Tiada perkembangan dilaporkan.

10. Melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing

Image via Property Guru

Kerajaan telah mengkaji semula dua projek saluran utama yang dianugerahkan kepada firma Cina, sementara projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang diberikan kepada kontraktor China masih dalam proses rundingan semula dengan harapan dapat mengurangkan kos pembinaan projek kereta api berkenaan.

Selain itu antara projek-projek kerajaan yang lain termasuklah Projek Transit Aliran Massa (MRT 3) atau Laluan MRT Lingkaran dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang ditangguhkan sehingga kedudukan kewangan negara pulih.

Status: Dalam pelaksanaan.

Dalam tempoh 100 hari ini, kerajaan PH telah pun berkali-kali menyatakan bahawa adalah mustahil untuk mereka memenuhi kesemua 10 janji disebabkan beberapa halangan

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui adalah mustahil untuk memenuhi 10 Janji 100 Hari seperti mana ditawarkan Manifesto PH pada pilihan raya umum lepas.

Image via Straits Times

Namun, beliau berkata, manifesto itu ditulis sebelum mereka berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan, tanpa menyedari kedudukan fiskal negara yang agak meruncing.

“Manifesto itu ditulis berdasarkan apa yang kami ketahui tentang kerajaan masa itu. Tetapi selepas kami ambil alih, kami dapati keadaan jauh lebih teruk.

"Kami terpaksa membuang sesetengah individu, beberapa perkara perlu diluluskan Parlimen, jadi ia ambil masa untuk membawanya ke Dewan, kami terpaksa menulis usul dan sebagainya. Jadi ia akan ambil sedikit masa untuk penuhi semua janji itu," jelasnya seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Ujarnya lagi, apa yang mampu kerajaan lakukan ialah memulakan proses bagi memenuhi segala janji yang ditawarkan secepat yang mungkin.

Lihat video penjelasan Tun Mahathir di bawah:

Jadi anda berpuas hati tak dengan prestasi kerajaan kita sekarang?

Image via Giphy

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel di SAYS Seismik:

You may be interested in: